SAUDARA PENGARANG,
PADA 2018, saya terbaca satu artikel yang menyatakan Malaysia adalah pengeluar sisa plastik kedua terbesar di Asia hingga cukup untuk mengisi Menara Berkembar Petronas tujuh hari sekali.
Hakikat ini amat membimbangkan dan setiap penduduk perlu mengambil tindakan sendiri untuk melakukan perubahan dengan cara mengutamakan kitar semula.
Langkah ini amat penting kerana sisa sampah mempunyai pengaruh negatif yang ketara terhadap alam sekitar. Kita akan menghirup gas kimia dan banyak mikroplastik boleh hadir dalam makanan pada masa hadapan jika tidak mengubah tingkah laku pembuangan sampah.
Kitar semula dapat membantu mengurangkan pencemaran berkaitan sisa. Mulakan tabiat baharu ini secara kecil-kecilan dengan menyatakan tidak kepada beg plastik.
Beg plastik boleh terurai menjadi mikroplastik yang berpotensi berbahaya, boleh merosakkan atau membunuh haiwan jika tertelan atau terjerat di dalamnya.
Walaupun fakta bahawa beg ini boleh dikitar semula secara teknikal, kita mesti membawanya ke lokasi penghantaran untuk berbuat demikian. Jadi, setiap kali pergi membeli-belah barangan runcit, ingatlah untuk membawa beg kanvas sendiri.
Kita perlu sedaya upaya untuk membawa bekas makanan sendiri apabila membeli makanan di luar. Ia benar-benar akan membantu mengurangkan sisa plastik sekali guna.
Langkah paling penting sekarang ialah membeli tong sampah berasingan untuk kitar semula di rumah. Letakkan beberapa tong kitar semula di seluruh rumah untuk memudahkan diri sendiri.
Banyak barang yang boleh dikitar semula. Mulakan dengan pengasingan empat bahan asas iaitu kertas, kaca, logam dan plastik.
Dalam pada itu, penduduk yang menetap di Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Perlis memang bertuah.
Ini kerana program pengurusan sisa perbandaran turut melibatkan pengambilan di tepi jalan mingguan untuk kitar semula. – UTUSAN
MONA ZAMIRA MOHD. JAMIL, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM)