Landskap politik negara kita tidak banyak berubah - Utusan Malaysia

Landskap politik negara kita tidak banyak berubah

Semua parti politik dilihat dalam mood PRU15 apabila ramai pemimpin kerap turun padang dan mengadakan pertemuan. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM sejarah pilihan raya umum (PRU) di negara kita, tidak pernah ada sebuah parti politik tunggal boleh memenangi pilihan raya secara sendiri. Hanya gabungan parti politik boleh menang dalam PRU, misalnya Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Namun, masalahnya adalah perlawanan hari ini hanya antara gabungan parti politik yang mendukung sistem sama iaitu kapitalis neoliberal (pasaran bebas). Gabungan ini mempermainkan politik perkauman untuk berkuasa dan mempunyai pendukung yang merupakan pemodal-pemodal besar.

Malah, gabungan ini melakukan campur tangan dan meletakkan orang-orang mereka sendiri dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Yang membezakan ialah siapa antara mereka yang lebih jahat, lebih rasuah, lebih kuat salah guna kuasa dan sebagainya.

Oleh itu, suka atau tidak, selagi gabungan parti utama itu tidak mempunyai perbezaan idelogi, maka hasil kemenangan tidak akan membawa perubahan ketara kepada landskap politik tanah air.

Justeru, tindakan membina kuasa alternatif berdasarkan aspirasi rakyat bawahan, perjuangan kelas dan menolak sistem kapitalis neoliberal harus diusahakan. Ia bertujuan membina kuasa politik yang dapat membela rakyat dan menjaga kepentingan penduduk terbanyak.

Usaha-usaha untuk menggabungkan perjuangan para pekerja, petani, masyarakat sivil yang progresif, anak muda dan kelas menengah adalah diperlukan untuk membina kuasa alternatif baharu.

Semasa banjir dan pandemik Covid-19, kita dapat lihat bagaimana rakyat marhaen dapat menembusi politik kaum dan agama untuk bersatu dan menjadi kuasa penting semasa krisis.

Oleh itu, satu kuasa politik baharu yang berlandaskan aspirasi sedemikian harus dijadikan prasyarat untuk membina gabungan parti politik baharu.

Ini mungkin mengambil masa tetapi jika ia tidak dimulakan sekarang, rakyat akan terus berasa hampa dalam setiap PRU akan datang. – UTUSAN

S. ARUTCHELVAN
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN