Elak harga rumah mampu milik ditentu pasaran - Utusan Malaysia

Elak harga rumah mampu milik ditentu pasaran

PEMBINAAN rumah mampu milik adalah tanggungjawab kerajaan yang harus disubsidi. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 2018, kerajaan mengumumkan nilai rumah yang tidak dijual dijangkakan berjumlah RM22.5 bilion.

Jika masih ramai rakyat daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) belum lagi memiliki rumah, kenapa pula stok rumah yang belum dijual masih tinggi?

Puncanya kerana rumah yang dikategorikan sebagai mampu milik ini sebenarnya tidak mampu dimiliki oleh rakyat majoriti.

Oleh itu, apakah rasionalnya menetapkan harga rumah mampu milik dalam lingkungan harga RM250,000 sehingga RM500,000?

Nilai penengah (median) gaji dan upah bulanan pada 2017 ialah RM2,160, manakala purata gaji dan upah bulanan ialah RM2,880. Jika dikira gaji RM2,880 sebulan, harga rumah yang mampu milik bersamaan RM103,680.

Dilaporkan juga bahawa bilangan pekerja yang menerima gaji sebanyak itu ialah seramai 8.6 juta orang, iaitu 57.3 peratus daripada jumlah keseluruhan 15 juta pekerja di seluruh negara.

Jika kita pertimbangkan pendapatan isi rumah pula dan bukannya pendapatan seseorang individu, adakah isi rumah kita mampu membeli rumah?

Pendapatan isi rumah median pada 2016 ialah RM5,228 atau RM62,736 setahun. Jika dikumpulkan untuk tiga tahun, ia hanya RM188,208, iaitu masih jauh berkurangan berbanding harga purata rumah sekarang sebanyak RM400,000.

Kos

Para pemaju perumahan pula akan berhujah bahawa mereka tidak mungkin membina rumah dalam lingkungan harga RM70,000 hingga RM100,000 dengan alasan kenaikan harga bahan binaan, sewa jentera, kos pematuhan segala peraturan ditetapkan kerajaan dan harga tanah.

Perumahan rakyat tidak seharusnya dikaitkan dengan kos pembinaan yang dipengaruhi oleh faktor-faktor pasaran. Pembinaan dan penyediaan rumah mampu milik merupakan satu tanggungjawab kerajaan yang harus disubsidi dan tidak terikat dengan impak pasaran bebas.

Pada 1980-an, kerajaan cuba menjayakan penyediaan rumah mampu milik menerusi kerjasama dengan swasta. Kuota bilangan rumah kos rendah yang harus dibina dalam sesuatu projek pembangunan bercampur ditetapkan sebagai 30 peratus.

Kos pembinaannya ditanggung secara subsidi silang dengan kediaman mewah dan komersial yang juga dibangunkan dalam projek sama.

Malangnya, kerajaan melonggarkan syarat kuota ini kerana terperdaya dengan hujah pemaju yang tidak berminat membina rumah kos rendah di lokasi-lokasi yang mendapat permintaan tinggi pembeli.

Tanah

Mereka diberikan kelonggaran supaya menunaikan kewajipan kuota 30 peratus mereka di lokasi lain yang jauh dan terpencil.

Justeru, timbullah masalah untuk menjual 30 peratus kuota rumah kos rendah itu walaupun ia dijual pada harga RM42,000.

Ini kerana rakyat bekerja di bandar dan kawasan sekitarnya. Adalah tidak rasional untuk mereka disuruh membeli rumah di lokasi yang jauh dari tempat kerja seperti di Bukit Beruntung atau Rawang, Selangor jika mereka bekerja di Lembah Klang.

Sudah tentu mereka tidak berupaya menampung kos pengangkutan untuk berulang-alik ke tempat kerja.

Jadi, dicadangkan kerajaan mengambil alih tanggungjawab menyediakan rumah pertama di kawasan bandar dan pinggirnya daripada pihak swasta.

Segala pengaruh faktor pasaran seperti harga tanah, penilaian tanah dan sebagainya perlu dielakkan atau dikawal daripada mempengaruhi kos rumah yang boleh ditawarkan kepada rakyat pada harga kurang RM100,000. – UTUSAN

SIVARAJAN ARUMUGAM, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya