Tolak campur tangan GLC, GLIC dalam industri agromakanan

Tolak campur tangan GLC, GLIC dalam industri agromakanan

inflasi
Bab halal bukan hanya melibatkan sembelihan ayam dan daging tetapi semua jenis produk makanan waima yang dihasilkan oleh industri ataupun para peniaga kecil tempatan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN melalui Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) baru-baru ini memperkenalkan harga siling bergerak untuk barang makanan bagi membantu mewujudkan ekosistem yang inklusif dalam menangani isu sekuriti makanan.

Harga siling bergerak tersebut dikatakan akan berubah mengikut faktor harga input dalam rantaian bekalan.

Bagaimanapun, harga adalah sesuatu yang ditetapkan mengikut penawaran dan permintaan di pasaran dan ia bukanlah sesuatu yang boleh ditetapkan atau diubah begitu sahaja oleh kerajaan.

Keadaan harga yang saling bersangkut paut dapat dilihat pada tindakan penggunaan dan pengeluaran bersandarkan kepada harga relatif dan jangkaan keuntungan, yang sebenarnya mencerminkan struktur penawaran dan permintaan di pasaran.

Untuk memahami sepenuhnya keperluan sebenar dalam sistem ekonomi, ketetapan perlu dilakukan di dalam pasaran sendiri dan bukannya menggunakan tekanan luar daripada kerajaan.

Keadaan ini akan memastikan produk adalah berdasarkan permintaan dan mengurangkan pembaziran sumber.

Tambahan pula, data-data yang digunakan dalam menentukan harga siling bergerak ini tidak semestinya memberikan gambaran lengkap tentang situasi sebenar ekonomi.

Hal ini disebabkan oleh data dan maklumat tersebut sentiasa berubah-ubah sekali gus menyebabkannya menjadi tidak relevan pada saat para pembuat dasar hendak menentukan harga siling baharu.

Bukan itu sahaja, harga juga ditentukan oleh penawaran dan permintaan dalam pasaran bagi tujuan pengeluaran.

Para pemain dalam pasaran seperti usahawan, memiliki kata putus dalam menentukan kadar penggunaan sumber mereka serta bagaimana unjuran harga dan pasaran akan berubah pada masa akan datang.

Maka, harga tetap tidak akan mewujudkan satu persekitaran yang terjamin bagi tujuan pengeluaran.

Seterusnya, kami menyokong keperluan untuk memastikan kualiti, kuantiti dan pengeluaran makanan berada pada tahap optimum bagi memastikan kelangsungan bekalan.

POLITIK

Namun, kita harus memikirkan semula mekanisme cadangan campur tangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi kerajaan dalam keseluruhan rantaian bekalan.

Adakah campur tangan ini benar-benar dilakukan dengan pemahaman yang jelas tentang keperluan sebenar pasaran?

Penyertaan GLC dan GLIC dalam keadaan harga siling bergerak (bukan berasaskan harga pasaran) akan berakhir dengan keputusan pengeluaran yang tidak wajar, dan akhirnya akan memberi kesan lebih teruk.

Penyertaan kerajaan dalam dunia perniagaan melalui GLC dan GLIC bakal menghimpit ruang sektor swasta dan menjejaskan kedinamikan ekonomi.

Hal ini disebabkan oleh tanggapan pasaran yang kurang menguntungkan bagi sektor swasta kerana keutamaan akses diberikan kepada GLC dan GLIC.

Dalam pada itu, terdapat juga persepsi awam yang kuat terhadap kelemahan tadbir urus sesetengah GLC dan GLIC di bawah pentadbiran pemimpin politik.

Tambahan pula, wujud kekurangan pengawasan berkesan dan bebas terhadap GLC dan GLIC yang menghalang usaha untuk mencapai akauntabiliti dan ketelusan yang lebih cemerlang.

Dengan segala kelemahan pengawasan tersebut, adakah campur tangan kerajaan dalam industri agromakanan akan mengakibatkan salah urus, ketidakcekapan dan seterusnya memburukkan lagi isu sekuriti makanan?

Sepatutnya kerajaan perlu berusaha untuk menangani secara efektif permasalahan seperti kewujudan kartel, kekurangan persaingan dan penyembunyian bekalan demi sekuriti makanan.

Elak penglibatan terus GLC, GLIC dan agensi kerajaan dalam industri agromakanan yang akan menyekat persaingan. – UTUSAN

ABEL BENJAMIN LIM & JULIANA LAJUDDIN, Penganalisis ekonomi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya