SAUDARA PENGARANG,
SITUASI krisis kesihatan Covid-19 ternyata memberi impak begitu besar kepada para pelajar prasiswazah dan pascasiswazah di universiti.
Peralihan dalam konteks kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP), iaitu daripada kaedah bersemuka kepada dalam talian ternyata memberi kesan kepada pelajar mahupun tenaga pengajar di universiti.
Oleh itu, apabila negara kita memasuki fasa peralihan ke endemik pada awal tahun ini ternyata memberikan sinar baharu apabila para pelajar di universiti negara ini dibenarkan secara berperingkat masuk ke kampus.
Mereka juga mula melalui kaedah PdP secara hibrid, iaitu penggunaan atau gabungan dua pendekatan (bersemuka dan dalam talian).
Peluang ini harus digunakan oleh pihak pengurusan universiti serta tenaga pengajar untuk meningkatkan semula kebolehpasaran serta kualiti graduan yang bakal dilahirkan selepas mereka melalui proses PdP secara dalam talian ketika beberapa tempoh masa semasa pandemik Covid-19.
Perkara ini penting supaya proses PdP dalam talian yang dilalui oleh mereka sebelum ini tidak mendatangkan apa-apa kesan kurang baik dari segi kebolehupayaan mereka untuk menghadapi persaingan yang lebih besar di lapangan, iaitu semasa proses mencari peluang-peluang pekerjaan selepas bergelar graduan.
Pendedahan dan galakan kepada para pelajar untuk mengikuti semula program-program secara bersemuka yang boleh meningkatkan nilai tambah diri wajar diberikan supaya mereka dapat kembali bersemangat untuk menamatkan pengajian dengan jayanya.
Keseimbangan yang diberikan antara akademik dan kokurikulum membolehkan motivasi ke arah pembangunan jati diri, kepimpinan serta patriotisme dalam kalangan pelajar dapat dipertingkatkan semula.
Dengan cara ini, kebolehpasaran para pelajar masih dapat dipelihara dan terjaga dari segi kualitinya. – UTUSAN
DR. MOHAMAD HAFIFI JAMRI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah