Sambut Hari Tanpa Tembakau setiap hari - Utusan Malaysia

Sambut Hari Tanpa Tembakau setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MERUJUK kepada artikel bertajuk Bebaskan diri kita dari belenggu tabiat merokok dalam ruangan ini pada 8 Jun lalu, saya berpendapat sepatutnya kita meraikan Hari Tanpa Tembakau selama 365 hari setahun, bukan hanya tanggal 31 Mei setiap tahun.

Jika diimbau kembali sejarah iklan rokok di Malaysia, pengiklanan tembakau bermula pada 1970-an dan berakhir 2002. Sepanjang tempoh itu, kita tidak dapat membebaskan diri daripada belenggu iklan rokok.

Syarikat Benson & Hedges telah menaja siaran bola sepak Piala Dunia pada 1986 di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Selang empat tahun kemudian, Dunhill menaja Piala Dunia dari 1990 (RTM), 1994-1998 (RTM dan TV3) dan 2002 (RTM, TV3, Astro dan NTV7).

Selain itu, jenama-jenama rokok terkenal pernah menaja beberapa rancangan popular di televisyen. Antaranya Mekar Sejambak dan Hiburan Minggu Ini (HMI) terbitan RTM ditaja oleh Virginia Gold pada 1980-an.

Juara Lagu 1987 juga merupakan satu-satunya acara tahunan anjuran TV3 yang ditaja oleh jenama rokok Gold Leaf dan tidak ada jenama rokok lain yang menaja selepasnya.

Apabila tiba musim perayaan utama, syarikat rokok mengiklankan ucapan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali tetapi tidak pernah sekalipun pada Hari Kebangsaan selama iklan rokok masih dibenarkan.

Temasya bola sepak Piala Dunia Korea Selatan-Jepun 2002 merupakan kali terakhir siarannya ditaja jenama rokok terkenal.

Jika tidak silap, semua iklan jenama rokok mula ditamatkan secara berperingkat-peringkat bermula di semua saluran TV pada awal suku keempat 2002, disusuli semua saluran radio dan media cetak beberapa hari kemudian.

Semoga Malaysia akan menjadi negara bebas amalan merokok suatu hari nanti. Katakan tidak kepada asap rokok! – UTUSAN

HAYRIN MATAHIR, Sandakan, Sabah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN