SAUDARA PENGARANG,
SEBAGAIMANA kita sedia maklum, Malaysia akan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.
Perkara tersebut disahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas meminta semua ahli Barisan Nasional (BN) bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya itu.
Ia dijangka diadakan pada bila-bila masa dari sekarang. Bukan sahaja BN, malah semua parti politik sedang membuat pelbagai persediaan bagi menghadapi PRU15.
Sebenarnya tidak salah jika saya katakan, tiada keperluan untuk meneliti atau mengkaji secara mendalam sebelum membuat sebarang keputusan kerana rakyat sudah pun melalui ranjau dalam kancah politik negara yang haru-biru.
Baru-baru ini, kerajaan mempertimbangkan untuk mengembalikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat. Namun, cadangan tersebut ditolak oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
Pembangkang masih lagi dilihat mahu bermain sentimen lama dengan tidak mahu menerima kenyataan bahawa mereka sebenarnya pernah mempermainkan mandat rakyat apabila kerap memberi kenyataan berputar belit dan menipu.
Akibat ancaman Covid-19 dan bencana alam seperti banjir, saya percaya rakyat hanya menerima sebahagian bantuan sekiranya PH masih kekal memerintah dengan memberi alasan sama, iaitu hutang negara berjumlah RM1 trilion.
Sehingga hari ini, PH tetap mencuba menutup apa jua kelemahan dan kesilapan dengan pelbagai kenyataan bagi mendapatkan pengaruh serta sokongan rakyat dan hanya mereka yang kurang bijak mudah terpedaya.
Bagi saya, walaupun pembangkang membuat aku janji secara bersumpah untuk menunaikan segala manifesto, namun rakyat tidak boleh percaya kerana mereka hanya berbuat demikian semata-mata untuk mendapatkan kembali kuasa.
Malah, PH bertindak seolah-olah mempunyai kuasa mutlak sedangkan mereka terlupa tentang kekuasaan Allah SWT. – UTUSAN
BAHARUDDIN SAMEK, Muar, Johor