Pesta buku dalam bentuk fizikal masih relevan - Utusan Malaysia

Pesta buku dalam bentuk fizikal masih relevan

ORANG RAMAI mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), baru-baru ini. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 dari 3 hingga 12 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) nampaknya sangat meriah. Ia amat ditunggu-tunggu oleh penerbit dan penulis.

Dua tahun pandemik Covid-19, penulis, penterjemah dan penerbit telah menggunakan masa terlaung sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menghasilkan karya-karya yang baik.

Dua minggu sebelum PBAKL 2022 bermula, semua penerbit rancak mempromosi penulis dan buku-buku masing-masing dalam media sosial.

Dalam pada itu, ada pengajaran daripada pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021 apabila industri buku lebih banyak menggunakan jualan dalam talian demi memastikan keberadaan industri.

Bagaimanapun, jualan berbentuk fizikal seperti penganjuran PBAKL adalah amat penting kepada pembangunan industri buku.

Lebih utama, PBAKL meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat. Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) memaklumkan bahawa dari segi mutu dan bilangan judul bahan bacaan yang dipamerkan, terserlah peningkatan, terutamanya buku profesional dan akademik.

Objektif penganjuran PBAKL adalah pertama, memajukan industri penerbitan buku tempatan dan menggalakkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bidang perbukuan seperti penulisan, penyuntingan, ilustrasi, penterjemahan dan pemasaran buku di negara ini.

Kedua, mempromosikan judul-judul terkini bahan terbitan tempatan, sama ada bahan bercetak mahupun bahan elektronik dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain dari dalam dan luar negara.

Ketiga, memupuk kesedaran tentang kepentingan buku sebagai pembekal ilmu dan pengayaan minda untuk pembinaan modal insan. Keempat, menggalakkan tabiat budaya membaca dalam kalangan rakyat di semua peringkat khususnya pada generasi muda.

HAB

Kelima, menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab bagi penerbitan dan pemasaran buku serta perdagangan hak cipta dan lesen perbukuan di rantau ini.

Selama ini, PBAKL menerima banyak kritikan. Ada pihak yang mengatakan kenapa ingin berpesta buku kerana buku fizikal tidak lagi relevan.

Ada yang mengatakan PBAKL amat terhad dan bermacam-macam lagi. Sejujurnya, saya melihat PBAKL 2022 begitu baik dari seri penganjuran, promosi dan penglibatan sehingga ke peringkat akar umbi.

Apa yang lebih penting adalah usaha menyemarakkan kandungan tempatan. Ini amat kritikal untuk mencetuskan cabang kreativiti lain seperti filem, animasi dan e-sukan. Semuanya bermula dengan industri buku yang baik, sama ada fizikal atau dalam talian. Inilah antara kejayaan PBAKL.

PBAKL ini juga bertindak membuka tirai pesta buku hinggalah ke Pesta Buku Frankfurt pada Oktober nanti. Ini sangat penting bagi memperkasa industri buku kita dan dalam mengantarabangsakan bahasa Melayu ke persada dunia.

Setiap tahun MBKM akan membuat pemilihan 50 buku terbaik Malaysia sebagai persiapan ke pesta buku terbesar dunia di Jerman itu. Secara tidak lanngsung, PBAKL membantu menggalakkan penghasilan buku-buku bermutu tinggi.

Ayuh, pembaca dan peminat tegar buku Malaysia dan antarabangsa. Silalah bersama industri buku menyokong PBAKL 2022.

Diharap semua yang terlibat memastikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 terjaga sepanjang pesta dan mendapat manfaat membeli buku untuk diri sendiri dan keluarga bagi menambah ilmu. – UTUSAN

NINOT AZIZ, Rawang, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN