Musykil pembiayaan LPPSA lebih mahal

Musykil pembiayaan LPPSA lebih mahal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

LEMBAGA Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) ialah badan berkanun yang bertanggungjawab menguruskan kemudahan pembiayaan perumahan kakitangan kerajaan.

Ia ditubuhkan pada 2016 bagi mengambil alih peranan Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP), Kementerian Kewangan.

Dikatakan LPPSA meluluskan hampir 40,000 permohonan setahun bernilai kira-kira RM10 bilion dengan kadar penolakan yang rendah. Margin pinjaman diberikan adalah sehingga 100 peratus dengan kadar faedah empat peratus.

Kelebihan pinjaman di bawah LPPSA adalah penilaian semakan kelayakan hanya dibuat berdasarkan apa yang tercatat dalam penyata gaji tanpa mengambil kira sebarang komitmen luar seperti pinjaman bank.

Biarpun nama disenarai hitam dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan CTOS Data Systems Sdn. Bhd., kakitangan kerajaan masih lagi layak membuat pinjaman menerusi LPPSA.

LPPSA ketika ini menetapkan peminjam perlu membuat bayaran semula pinjaman selepas 24 bulan dari tarikh kelulusan pinjaman.

Cuma yang menjadi kemusykilan saya, apakah yang telah dilakukan oleh LPPSA untuk mengurangkan tekanan dihadapi oleh kakitangan kenaikan akibat kenaikan harga barangan?

Janji-janji gaji lebih baik oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) 2018 tidak ditunaikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas itu dengan alasan semua pihak perlu mengikat perut kerana hutang negara.

Antara janji-janji Najib itu adalah kenaikan gaji bersamaan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) secara khas kepada semua penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai 2018 dan kenaikan pangkat time-based kali kedua dikurangkan dari 13 kepada 10 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2018.

TERJEJAS

Sikap tidak empati LPPSA dapat dilihat apabila tidak memberikan moratorium pembayaran balik ansuran bulanan ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Alasannya, kebajikan penjawat awam terjaga dan bagi memastikan kelangsungan serta sumber kewangan kekal.

Sebab lain, kemudahan pembiayaan perumahan LPPSA telah disubsidikan pada kadar faedah empat peratus, lebih rendah berbanding kadar yang ditawarkan oleh mana-mana institusi perbankan tempatan.

Sebarang penangguhan kepada bayaran ansuran bulanan pembiayaan akan memberi kesan kepada aliran wang tunai LPPSA dan ini membabitkan pinjaman tambahan melebihi RM2 bilion.

Difahamkan, moratorium selama enam bulan hanya diberikan kepada 4,000 pembeli rumah mampu milik yang berdepan dengan isu ‘rumah sakit’ membabitkan kelewatan pembinaan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Projek Perumahan 1Malaysia (Pr1ma).

Daripada semua alasan yang diberikan oleh LPPSA, saya tertarik dengan ayat kadar faedah LPPSA lebih rendah berbanding yang ditawarkan oleh mana-mana institusi perbankan tempatan.

Persoalannya, saya yang membuat pinjaman LPPSA selama 30 tahun kini terpaksa membayar pinjaman perumahan Pr1ma sebanyak RM1,200 sebulan berbanding jiran saya yang membuat pinjaman melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi tempoh sama yang hanya membayar RM900.

Kenapa perkara seperti ini boleh berlaku? Sepatutnya bayaran bulanan LPPSA adalah lebih kecil. Wang perbezaan RM300 cukup besar bagi kakitangan awam yang turut terjejas akibat kenaikan harga barangan. – UTUSAN

HAJI ABDUL, Kuala Kangsar, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.