SAUDARA PENGARANG,
PERTUBUHAN Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) dan Persatuan Ekologi Perak menggesa pihak berkuasa negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor memberi penjelasan mengenai status kawasan penempatan terbiar di Kampung Sungai Keradang, Bukit Tagar, daerah Hulu Selangor.
Pihak berkuasa negeri perlu menjelaskan status terkini kawasan berkenaan sama ada masih berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang difahamkan terletak dalam Hutan Simpan Bukit Tarek (HS Bukit Tarek) atau telah dimansuhkan.
Difahamkan juga, Jabatan Perhutanan negeri pernah melakukan operasi bagi mengusir penceroboh dan peneroka haram.
Namun, masih terdapat struktur bangunan kekal, kegiatan pertanian dan penternakan serta ada warga asing tinggal di kawasan berkenaan.
Malah terdapat satu papan tanda yang menyatakan pelaksanaan program penanaman pokok-pokok nadir yang dilakukan oleh Jabatan Perhutanan tetapi didapati ditumbuhi pokok kelapa sawit.
Persoalan yang diketengahkan adalah daripada tinjauan GRASS dan Persatuan Ekologi baru-baru ini yang mendapati ada kegiatan guna tanah yang tidak wajar dibiar didakwa berlaku dalam kawasan HS Bukit Tarek.
Sekiranya masih berstatus HSK seperti diputuskan 13 tahun lalu, pihak berkuasa berkaitan perlu meletak papan tanda atau notis berkaitan memaklumkan larangan menceroboh di kawasan yang sepatutnya dihutankan semula.
Jabatan Perhutanan Negeri Selangor juga perlu mempunyai perancangan pengurusan hutan jangka panjang bagi memastikan sasaran Kerajaan Negeri untuk memastikan 33.3 peratus kawasan hutan di seluruh negeri diwartakan sebagai HSK menjelang 2030 tercapai. -UTUSAN
MEOR RAZAK MEOR ABDUL RAHMAN
Aktivis alam sekitar