Inflasi: Masa sesuai untuk melabur

Inflasi: Masa sesuai untuk melabur

DIVIDEN ASB tahun ini dijangka lebih rendah daripada tahun lepas. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERNAHKAH anda mendengar ibu atau ayah mengeluh mengenai harga barang yang semakin meningkat dan menyukarkan mereka untuk berbelanja dan membeli barangan keperluan keluarga?

Ia bukanlah keluhan kosong kerana kenaikan harga barang dipengaruhi oleh pelbagai punca termasuk peningkatan harga bahan mentah, kos buruh dan permintaan yang tinggi.

Pengurangan kuasa beli ini dikenali sebagai inflasi. Inflasi menyebabkan nilai wang mengecil dari tahun ke tahun dan oleh kerana nilai wang secara relatifnya semakin mengecil, ia perlu dilindungi.

Inflasi bukan sahaja memberi kesan kepada harga barang tetapi juga perkhidmatan yang ditawarkan seperti yuran pendidikan, tambang bas dan kereta api, harga rumah serta utiliti. Kebiasaannya apabila harga meningkat, ia sukar sekali untuk turun semula.

Bagaimana cara terbaik melindungi nilai wang daripada mengecil? Salah satu cara ialah dengan melaburkan wang berkenaan dalam produk pelaburan yang memberi pulangan.

Pelaburan boleh dilakukan dalam pelbagai cara antaranya melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB), unit amanah, pasaran saham, membeli rumah atau melabur untuk diri sendiri.

Melabur untuk diri sendiri bermakna belajar dan menambah ilmu serta kemahiran seperti melanjutkan pengajian ke universiti atau mengikuti kursus kemahiran seperti memasak, teknologi maklumat atau mempelajari bahasa kedua dan ketiga.

Pelaburan untuk diri sendiri memberi peluang untuk mendapatkan pekerjaan lebih baik bagi meraih pendapatan atau gaji besar.

Apabila sudah mempunyai pendapatan kelak, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mula melabur dalam instrumen pelaburan yang sesuai. Jangan lupa, walau sebesar mana pendapatan, jika tidak diurus dengan baik, ia akan hilang begitu sahaja atau semakin mengecil nilainya.

Oleh itu, jangan biarkan sahaja gaji dalam akaun simpanan sebaliknya ketepikan lima hingga 10 peratus daripadanya untuk pelaburan dalam ASB atau pelaburan lain yang difikirkan sesuai.

Buat kaji selidik dan pilihlah pelaburan yang memberi pulangan melebihi kadar inflasi semasa. Jika kadar inflasi ialah tiga peratus, melaburlah dalam instrumen pelaburan yang memberi pulangan melebihi tiga peratus. Ini merupakan cara terbaik melindungi nilai wang daripada mengecil akibat inflasi.-UTUSAN

BULBIR SINGH
Bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN