Gunakan hak sebagai pengguna, bukan diam diri

Gunakan hak sebagai pengguna, bukan diam diri

PENGGUNA perlu bijak menggunakan hak mereka apabila berhadapan masalah produk elektrik yang rosak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBELUM ini saya berkongsi beberapa tip apabila membeli barangan elektrik agar ia selamat digunakan. Pun begitu anda mungkin terlepas pandang dari sudut hak pengguna sekiranya produk yang dibeli mengalami kerosakan terutama dalam tempoh waranti.

Contohnya, anda membeli cerek elektrik tetapi ketika menggunakannya, air yang dimasak tidak mendidih sedangkan plug dalam keadaan baik. Apa yang harus anda lakukan?

Apabila anda mendapati produk itu tidak menepati janji-janji seperti dalam iklan, maka terus berjumpa pembekal dan jelaskan masalah dengan terang dan tenang. Jangan ikutkan perasaan marah.

Jika bertindak dengan segera, anda mungkin mempunyai pilihan lain. Anda boleh menekankan hak untuk membatalkan kontrak pembelian, menuntut bayaran semula atau saguhati. Anda juga boleh menerima tawaran syarikat itu untuk membaiki atau menggantikan barangan tersebut.

Jadi, anda perlu mengetahui hak sebagai pengguna dengan memastikan barangan tersebut bebas daripada sebarang kerosakan yang tidak dapat dilihat, mempunyai kualiti mudah diperdagangkan, menepati contoh atau gambaran yang diberi melalui iklan.

Dakwaan boleh dibuat sekiranya syarikat tertentu gagal membekalkan produk dengan syarat-syarat tersebut.

Kebanyakan peniaga atau pengeluar produk mahu menjaga nama baik mereka.

Oleh itu mereka akan membantu anda untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik.

Sebagai pengguna, anda tidak perlu berkasar tetapi hendaklah tegas. Sekiranya mereka enggan bekerjasama, minta untuk berjumpa dengan pengurus atau pihak berkuasa.

Ingat, anda mempunyai hak sebagai pengguna. Amalkan hak anda. Jangan berdiam diri tanpa mengambil sebarang tindakan. Jika anda tidak membantu diri sendiri, tidak ada siapa yang boleh menolong.

Keadilan boleh dicapai sekiranya anda tahu apa yang harus anda lakukan.-UTUSAN

BULBIR SINGH
Bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN