Rapat jurang penjagaan asma melalui pendidikan - Utusan Malaysia

Rapat jurang penjagaan asma melalui pendidikan

ANGGAPAN salah tentang asma dalam kalangan masyarakat dan ibu bapa menyebabkan kanak-kanak tidak mendapat rawatan dan penjagaan yang sewajarnya. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ASMA ialah sejenis penyakit kronik yang menyebabkan saluran paru-paru sempit dan gejala-gejalanya ialah batuk, sesak nafas, ketat dada dan juga nafas berdehit (wheezing).

Asma merupakan penyakit respiratori kronik yang kerap dihidapi oleh orang dewasa dan kanak-kanak. Lebih kurang 300 juta penduduk dunia dan 1.4 juta penduduk Malaysia menghidap asma.

Penyakit ini tidak boleh sembuh tetapi boleh dikawal jika diuruskan dengan baik dan penghidap asma boleh menjalani kehidupan normal.

Namun, lebih daripada separuh penghidap asma di Malaysia tidak mempunyai kawalan yang baik terhadap penyakit itu.

Tahap kesedaran masyarakat berkaitan penyakit asma adalah cetek dan masih terdapat stigma terhadap penyakit itu.

Kesedaran yang cetek menyebabkan masyarakat melihat penghidap asma lemah dan mereka tidak diberikan peluang untuk berdikari dalam pelbagai bidang. Ini menyebabkan ramai malu untuk menggunakan ubat asma di khalayak ramai.

Penghidap asma juga berisiko untuk mendapat simptom atau serangan asma secara tiba-tiba dan memerlukan bantuan kecemasan.

Penggunaan ubat sedutan salbutamol yang digunakan melalui corong boleh melegakan simptom dan menyelamatkan nyawa ketika serangan, sementara mendapatkan bantuan perubatan.

Bagaimanapun, ramai yang tidak mengetahui tentang bantuan kecemasan asma. Oleh itu, terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran asma di Malaysia.

Kanak-kanak merupakan kumpulan yang paling terjejas kerana kesedaran yang cetek dan stigma terhadap asma. Satu dalam 11 kanak-kanak di Malaysia menghidap asma dan ia merupakan penyakit kronik yang paling kerap dihidapi mereka yang berusia muda.

Mereka tidak dapat mengurus asma dengan sendiri dan memerlukan sokongan dan bantuan orang dewasa.

Kesedaran yang cetek dan tanggapan salah terhadap asma boleh diperbaiki dengan pendidikan. Di kebanyakan negara maju, pendidikan asma adalah meluas dan masyarakat mempunyai kesedaran yang tinggi.

Penghidap asma sering digalakkan bersukan dan bantuan kecemasan asma diajar di sekolah kepada guru dan murid.

Penglibatan selebriti dan atlet sukan yang menghidap asma seperti David Beckham dan Frank Lampard juga dilihat penting kerana boleh mengurangkan stigma dan memberikan kesedaran kepada masyarakat.

Oleh itu, terdapat keperluan untuk diperkenalkan pendidikan asma secara meluas di sekolah dan media sosial. – UTUSAN

DR. SITI NURKAMILLA RAMDZAN, Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN