SAUDARA PENGARANG,
SEMENJAK kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang bermula 1 April lalu, ramai berasa seperti mati hidup semula selepas mendapat kunci kebebasan untuk bergerak tanpa sebarang sekatan akibat penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak lebih dua tahun lalu.
Hal ini boleh dilihat apabila aktiviti umat Islam tidak disekat sepanjang Ramadan dan ketika berhari raya.
Bazar Ramadan dan hari raya juga kembali meriah dengan kehadiran pengunjung. Masjid dan surau bertambah berseri dengan kehadiran umat Islam untuk beribadah.
Sambutan Aidilfitri juga meriah dengan kepulangan anak dan cucu ke kampung halaman. Amalan ziarah sanak-saudara dan rakan dapat dilaksanakan pada tahun ini.
Namun, di sebalik kegembiraan itu, satu lagi berita gembira bakal diraikan oleh rakyat Malaysia selepas beberapa petunjuk jelas bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan tidak lama lagi. Ia mungkin boleh jadi pada Julai atau selewat-lewatnya sebelum berakhirnya tahun ini.
Petanda atau bunga-bunga PRU15 semakin jelas berikutan beberapa kenyataan daripada ahli-ahli politik baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Banyak kenyataan mereka berkisahkan persediaan menghadapi PRU15, malah ada yang sudah mengumumkan calon di sesebuah kawasan.
Malah banyak aktiviti tawar-menawar atau rundingan antara parti politik untuk memperkukuhkan parti masing-masing seterusnya berusaha memenangi PRU kali ini.
Pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 yang sudah dibayar kepada pemohon sejak 20 April lalu juga menunjukkan petanda yang jelas.
Beberapa kelonggaran yang diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga membayangkan PRU akan diadakan tidak lama lagi. – UTUSAN
MUZAKKIR IBADURRAHMAN, Pulau Pinang