Bahaya apabila jual beli benih dikawal - Utusan Malaysia

Bahaya apabila jual beli benih dikawal

BENIH sangat penting bagi kehidupan kerana ia adalah hubungan pertama kita kepada rantaian makanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 26 April lalu telah disambut Hari Benih Antarabangsa. Benih sangat penting bagi kehidupan kerana ia adalah hubungan pertama kita kepada rantaian makanan.

Selama ini para petani memilih, menjaga, membiak dan menyimpan benih. Secara tradisi pertukaran benih dalam kalangan petani adalah satu kebiasaan.

Malangnya, peralihan kepada pertanian skala industri dan berasaskan komersial menyebabkan petani tidak lagi bebas untuk bertukar-tukar pelbagai jenis benih.

Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk menjaga benih dan jauhkan ia daripada cengkaman korporat kerana tindakan mengawal benih sama seperti mengawal kehidupan.

Matlamat akhir sektor perniagaan adalah bagi memastikan mustahil bagi petani untuk bebas menyimpan, menanam semula, menukar dan menjual benih sehingga menjadikan mereka bergantung kepada pembelian benih.

Contohnya, Kenya baru-baru ini memperkenalkan undang-undang baharu untuk memastikan bahawa semua benih yang dijual atau diedarkan di negara itu disahkan sekali gus menjenayahkan penjualan varieti tumbuhan yang tidak diindeks oleh petani.

Ini mungkin berlaku di Malaysia kerana dengan menandatangani perjanjian perdagangan bebas tertentu, negara ini akan dikehendaki menyertai Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan (UPOV91).

UPOV91 akan mengenakan beberapa sekatan untuk menggunakan benih termasuk larangan pertukaran dan penjualan oleh petani.

Dalam pada itu, cadangan kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman di Parlimen tidak lama lagi menimbulkan kebimbangan ia akan menafikan hak petani dalam aktiviti jual beli benih sesama mereka sebaliknya hanya menyokong pengeluar benih komersial.

Oleh itu, para petani perlu sedar akan cubaan untuk mengawal penjualan benih yang sebenarnya bertujuan mengawal kehidupan kita. – UTUSAN

N.V. SUBBAROW, Pegawai Pendidikan Kanan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN