Ajar adab melalui media sosial - Utusan Malaysia

Ajar adab melalui media sosial

PERANAN datuk dan nenek untuk mengajar secara langsung adab kepada generasi muda telah diambil alih oleh media sosial. – GAMBAR HIASAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan sempena Hari Keselamatan Internet 2022 pada 8 Februari lalu menasihatkan setiap ahli Keluarga Malaysia agar terus memupuk sikap kebertanggungjawaban terhadap diri sendiri dan orang lain ketika berkomunikasi dalam media sosial.

Nasihat itu amat tepat kerana pada zaman sekarang, generasi muda tidak dapat berenggang dengan media sosial masing-masing. Segala aktiviti harian akan menjadi modal untuk dimuat naik dalam media sosial.

Mereka menggunakan apa sahaja situasi yang ada di sekeliling sebagai content (kandungan). Sehinggakan kadangkala mereka terpaksa mengada-adakan cerita semata-mata untuk menghasilkan kandungan untuk tontonan pengikut masing-masing.

Dalam pada itu, masyarakat perlu sedar bahawa media sosial bukan sekadar hiburan semata-mata bahkan merupakan budaya dan cara hidup zaman kini.

Media sosial adalah platform untuk kita mendapatkan pendidikan dan pengajaran bagi menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Ini berbeza pada zaman dahulu apabila anak-anak mempelajari budaya dan peradaban daripada orang tua mereka.

Segala adab, adat dan keperibadian adalah berdasarkan perlakuan yang dipertontonkan oleh ibu bapa serta seluruh ahli keluarga.

Generasi veteran dalam sesebuah keluarga seperti datuk dan nenek akan mengajarkan adab dan cara berkelakuan mengikut situasi kepada generasi lebih muda.

Anak-anak muda dengan rasa penuh hormat menuruti segala nasihat tersebut dengan hati terbuka walaupun kadangkala mereka kurang memahami hikmahnya.

Di zaman moden ini, kita harus sedar dan menerima hakikat dengan dada yang lapang bahawa media sosial kini adalah sebahagian daripada budaya masyarakat.

TELEVISYEN

Sewaktu rancangan televisyen diperkenalkan sebelum ini, ia merupakan satu medium yang sangat berkuasa dalam menyebarkan berita kepada masyarakat kerana dapat ditonton oleh jutaan individu.

Namun, dengan kehadiran media sosial sekarang, segala maklumat dapat dicapai oleh pelbagai lapisan masyarakat dengan mudah dan cepat walaupun di mana mereka berada.

Istilah Global Village (Kampung Global) yang diperkenalkan oleh ahli falsafah dari Kanada, Marshall McLuhan pada 1964 merupakan satu realiti sekarang.

Oleh itu, tanggungjawab semua ahli masyarakat adalah untuk memastikan kandungan media sosial mereka dapat memberikan pendidikan dan pengajaran berguna.

Jika anda seorang guru, gunakan media sosial untuk menayangkan secara langsung atau rakaman anda sedang mengajar sesuatu subjek.

Seorang cef dapat berkongsi resipi masakan bersama masyarakat hanya dengan memuat naik video masakan dalam media sosial.

Seorang pendakwah atau ahli motivasi boleh menggunakan media sosial untuk memberi penjelasan tentang sesuatu isu yang timbul dan mencadangkan penyelesaian terbaik.

Apabila anda mengaplikasikan komunikasi berkesan dan profesional sewaktu berinteraksi dalam media sosial maka ia merupakan salah satu cara terbaik untuk menjenamakan diri kepada masyarakat umum.

Keadaan ini menyebabkan berlakunya transformasi pola komunikasi dan sosial kepada norma baharu.

Namun, situasi ini menyebabkan kebanyakan kita alpa untuk menjaga adab dan etika sewaktu berada dalam dunia siber.

Ingatlah, perwatakan kita sewaktu berinteraksi dalam media sosial mampu memberikan impak positif dalam menjalani kehidupan yang lebih tenang dan bahagia. – UTUSAN

NURUL NISHA MOHD. SHAH dan MOHD. RADZMAN BASINON, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya