Zakat tidak menyebabkan miskin

Zakat tidak menyebabkan miskin

ZAKAT bukan sahaja dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan kepada golongan asnaf malah menyucikan harta dan jiwa.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Sewajarnya kita patut bersyukur kerana dikurniakan usia dan kesihatan yang baik untuk melaksanakan puasa serta ibadah-ibadah yang sangat dituntut sepanjang Ramadan seperti solat berjemaah, solat tarawih, tadarus, qiamullail dan melipat gandakan sedekah. Contohilah sunnah junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang beriktikaf dan memburu Lailatul Qadar apabila memasuki sepuluh hari terakhir Ramadan.

Bulan ini juga, umat Islam tanpa mengira umur, jantina dan latar belakang ekonomi diwajibkan menunaikan zakat fitrah bertujuan bagi berkongsi rezeki dengan mereka yang susah.
Amalan menggembirakan ini paling disukai oleh Allah SWT. Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud : “Orang yang paling dicintai oleh Allah SWT ialah orang yang banyak memberi manfaat kepada orang lain, dan amalan yang paling Allah sukai ialah kegembiraan yang dimasukkan dalam hati seorang muslim, atau menghilangkan baginya kesulitan, atau menyelesaikan hutang-piutangnya atau menghilangkan baginya kelaparan”. (Imam at-Tabrani).

Membayar zakat tidak akan menyebabkan seseorang itu miskin atau berkurang harta. Ini kerana ada hikmah berupa keberkatan lebih-lebih lagi sekiranya menunaikan zakat dan bersedekah pada bulan mulia ini.

Barakah suatu nikmat yang dapat dirasai dan dinikmati dalam kehidupan seharian selepas berkongsi rezeki adalah seperti kesihatan yang baik, kelapangan masa, ketenangan hati dan sebagainya.
Selain mendapat keredaan Allah SWT dan mewujudkan sifat bersyukur, pemberian zakat juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara satu sama lain. Mudah-mudahan, bantuan zakat kita ini menjadi punca datangnya bantuan daripada Allah SWT, diluaskan pintu rezeki, dijauhkan musibah serta di akhirat nanti akan masuk ke dalam syurga melalui pintu istimewa yang hanya disediakan oleh Allah SWT.

“Barangsiapa tergolong sebagai orang yang sentiasa bersedekah maka dia akan dipanggil masuk syurga melalui pintu sedekah.” (Riwayat al-Bukhari)

Pun begitu, pastikan orang ramai membayar zakat di saluran yang betul dan kepada amil bertauliah demi memastikan zakat menjadi sah dan benar-benar sampai kepada asnaf yang berhak.
Selari dengan perkembangan semasa pelbagai saluran pembayaran zakat fitrah dan zakat harta telah diwujudkan sama ada secara dalam talian, potongan gaji, kad kredit, ejen zakat dan sebagainya.-UTUSAN

MOHD YAKOP IKRAM
Ipoh, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN