SAUDARA PENGARANG,
BERIKUT adalah tujuh aplikasi berguna untuk membantu umat Islam dalam menjalani ibadah pada bulan yang mulia ini:
1. APLIKASI MUSLIM SERBA BOLEH
Dengan lebih 120 juta muat turun, Muslim Pro adalah perisian gaya hidup dan utiliti Muslim paling popular di pasaran. Program mesra pengguna ini bukan sahaja menyediakan waktu solat yang tepat berdasarkan lokasi tetapi merangkumi kompas kiblat, pengiraan zakat dan penjejak puasa dan solat. Selain itu, aplikasi ini turut mempunyai fungsi membaca dan khatam al-Quran.
Aplikasi ini juga mempunyai pelbagai kandungan gaya hidup yang menarik seperti blog, video memasak, petua senaman dan banyak lagi.
2. PEMAKANAN SIHAT
MyFitnessPal membantu memantau jumlah kalori dan memberitahu sama ada anda makan secara berlebihan atau terlalu kurang. Selain itu, ia membolehkan anda mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai tabiat pemakanan.
3. JADILAH TUKANG MASAK
Aplikasi Kuali, Resipi Makanan Malaysia dan Seminit Resepi semuanya menawarkan pelbagai menu yang memberi idea memasak sepanjang bulan ini.
4. TIDUR BERKUALITI
Aplikasi penjejakan tidur seperti SleepScore adalah perisian yang bagus dalam menilai kitaran tidur. Yang penting, ia membantu anda untuk lebih memahami berapa lama tempoh tidur pada waktu malam.
Perisian ini menggunakan sensor dalam telefon untuk memantau pergerakan dan tahap bunyi pada waktu malam bagi mengenal pasti kualiti tidur.
5. KISAH ISLAMIK
Sediakan anak-anak dengan hiburan pendidikan yang hebat pada bulan yang mulia ini dengan aplikasi Muslim Tales yang menceritakan kisahkisah menarik tentang budaya dan sejarah Islam serta cerita-cerita yang diilhamkan daripada alQuran dalam tujuh bahasa.
Aplikasi ini memaparkan visual menarik dengan watak pelbagai dan permainan interaktif yang akan menggembirakan dan mendidik tentang prinsip dan nilai Islam.
6. PENGHANTARAN MAKANAN
Cubalah pelbagai alternatif penghantaran makanan termasuk GrabFood, Foodpanda, ShopeeFood, Airasia Food dan Beep. Sebagai alternatif, anda boleh membuat pesanan terus melalui laman web penghantaran rasmi seperti McDonald’s McDelivery, Pizza Hut Delivery atau Domino’s Pizza Delivery.
7. MEMBELI-BELAH DALAM TALIAN
Aplikasi seperti Zalora, Lazada, Shopee dan FashionValet menawarkan pelbagai fesyen dan barangan rumah yang boleh anda dapati dari keselesaan bilik tidur.-UTUSAN
YURI AZRANI
Kuala Lumpur