SAUDARA PENGARANG,
TADBIR urus diri yang baik bermula dengan kefahaman dan kesedaran tentang peranan dan tanggungjawab sebenar dalam pelbagai peringkat kehidupan bermula daripada diri sendiri, keluarga, masyarakat, organisasi dan negara.
Menerusi kefahaman dan kesedaran ini, individu mampu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan dedikasi.
Kebolehan mentadbir diri dengan baik akan memotivasi individu untuk mengemudi institusi dan negara secara berhemah dan bijaksana. Sebaliknya, kegagalan berbuat demikian akan mendorong individu melakukan perkara yang bertentangan dengan prinsip moral atau nilai yang menjadi asas pegangan sesebuah masyarakat. Ia juga boleh mencetuskan pelbagai implikasi negatif.
Bukti empirikal menunjukkan kegagalan mentadbir urus diri dengan baik boleh menjejaskan kesejahteraan individu lain di pelbagai peringkat. Di peringkat institusi keluarga, isu keganasan dan kegagalan rumah tangga yang berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab akan menjejaskan kesejahteraan emosi, mental dan fizikal pasangan serta anak. Hal ini juga akan mempengaruhi perkembangan mental anak dan dikhuatiri boleh mencetuskan pelbagai masalah sosial pada masa akan datang.
Sementara itu, isu buli dan penganiayaan di tempat kerja bukan hanya mendatangkan kemudaratan kepada mangsa tetapi juga organisasi.
Pelanggaran etika menjadi punca kemelesetan ekonomi negara-negara Barat pada suatu ketika dahulu. Ketidakstabilan ekonomi akan mengurangkan daya tahan organisasi untuk kekal relevan.
Situasi ini akan menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran sekali gus mencetuskan tekanan melampau kerana desakan hidup yang perlu dipenuhi.
Selain itu, isu bencana alam juga sering dikaitkan dengan sikap tamak individu yang akhirnya mengundang musibah kepada masyarakat. Kegagalan mentadbir diri bukan hanya merosakkan diri si pelaku bahkan mampu meranapkan seluruh sistem kehidupan manusia.
Kesimpulannya, tadbir urus yang baik bukan sahaja dapat meningkatkan produktiviti dan prestasi penyampaian malah kesejahteraan Keluarga Malaysia juga terjamin. Usaha memperkasakan tadbir urus diri yang baik perlu dilestarikan. Hal ini dapat direalisasikan sekiranya individu mempunyai keupayaan kognitif serta kawalan emosi yang baik.
Selain itu, kepercayaan dan penghayatan nilai-nilai murni yang digariskan oleh agama berupaya membentuk asas dalaman yang kukuh untuk mentadbir perilaku individu.-UTUSAN
NOR HAFIZAH IBRAHIM
Timbalan Pendaftar
Universiti Teknologi Mara (UiTM)