Sindrom malu gagalkan martabat identiti sendiri

Sindrom malu gagalkan martabat identiti sendiri

KERATAN akhbar 19 Mac 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENGENAI pandangan M.Faisal bertajuk Kekal nama dalam bahasa Inggeris yang diterbitkan pada 19 Mac lalu melalui ruangan Forum Utusan Malaysia, saya berpendapat sudah tiba masa  negara mengorak langkah maju ke hadapan dengan imej sendiri dan bukan lagi bersandarkan identiti penjajah.

Jangan terkejut, Filipina pernah berhasrat menamakan negara itu sebagai Malaysia kerana mereka juga dari rumpun Malayo Polinesia, namun hasrat itu gagal kerana Malaysia terlebih dahulu menggunakan nama tersebut pada 1963.

Sepatutnya usaha nyah kolonisasi yang bermula sejak penjenamaan semula Persekutuan Tanah Melayu (British Malaya, 1948), Kota Kinabalu (Jesselton, 1967), Pelabuhan Klang (Port Swettenham, 1972), Teluk Intan (Telok Anson, 1981) dan sebagainya perlu diteruskan.

Akibat kurang kefahaman tentang kepentingan penjenamaan, mentaliti puja Inggeris dan juga sindrom malu menjadi diri sendiri (inferiority complex) menyebabkan pegawai kerajaan lepa dalam menyah beberapa nama tempat berunsur kolonial.

Malah, ‘penyakit’ ini masih berterusan sehingga hari ini apabila masih banyak nama Inggeris digunakan tidak kira tempat, produk dan sebagainya. Jangan jadikan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai alasan sedangkan beberapa tempat di negara luar melakukan perubahan tanpa kebenaran pertubuhan tersebut. Inilah alasan sama yang digunakan ketika golongan antiidentiti kebangsaan mempertahankan nama Bukit St. Paul dari dijenamakan semula ke nama asalnya, Bukit Melaka.

Untuk makluman, terdapat 50 tempat di dunia menggunakan nama Georgetown sekali gus boleh mengelirukan pelancong. Dalam hal ini lebih baik tukar nama Georgetown ke Tanjung Penaga.

Isu berkaitan kos dokumentasi, tukar papan tanda dan sebagainya pula adalah alasan rapuh untuk tidak mengangkat bahasa Melayu.

Baru-baru ini tular seorang finalis pertandingan ratu cantik mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak berbangga dilahirkan sebagai rakyat Malaysia sebaliknya mengharapkan dilahirkan di China. Berapa ramai rakyat yang malu menjadi warganegara Malaysia dengan menjulang negara luar?

Mahukah kita terus membiarkan mentaliti rakyat mengagungkan identiti luar? Jadi, satu perubahan perlu dilakukan segera agar rakyat berbangga dengan warisan dan sejarah negara.-UTUSAN

ISLAH WAHYUDI
Port Dickson, Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya