Rasuah di Malaysia sudah tidak terkawal - Utusan Malaysia

Rasuah di Malaysia sudah tidak terkawal

SEKTOR pembinaan merupakan industri yang kerap mengamalkan rasuah dalam menjayakan sesuatu projek. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Percaya atau tidak, gejala rasuah semakin menebal dalam kalangan masyarakat dan ia seolah-olah menjadi amalan biasa. Entah dari mana gejala ini mula bertapak, tanpa diduga ia semakin membarah.

Ini terbukti jelas apabila Presiden Transparency International Malaysia, Dr. Muhammad Mohan mendedahkan Malaysia mencatat skor 48 berbanding sebanyak 51 peratus pada 2020.

Cara penskoran ini dibuat dengan mengambil kira senarai jumlah 180 negara. Malah, Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi 2021 jatuh ke kedudukan 62 berbanding tangga ke-57 pada 2020.

CPI ini boleh dijadikan kayu ukur keseriusan kerajaan dan komuniti kita dalam membanteras rasuah. Memetik laporan sama, kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn. Bhd. merupakan salah satu penyumbang kejatuhan kedudukan ini.

Sementara itu, menurut laporan Rasuah dalam Rantaian Bekalan: Bentuk dan Kesan Terhadap Pengguna oleh Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) serta Gabungan untuk Integriti Perniagaan (CBI) pada 2021 menyimpulkan bahawa rasuah boleh berlaku ketika di peringkat sebelum dan semasa pembangunan dijalankan dalam sektor pembinaan.

Kajian itu turut mengenal pasti sejumlah pemberian rasuah bagi melancarkan hak penukaran tanah dan penghantaran pelan pembinaan selain bagi memperoleh pekerja asing dan sijil penyiapan projek.

Bukan itu sahaja, laporan ini juga menyentuh soal rasuah yang berlaku dalam sektor penjagaan kesihatan, bidaan untuk mengendalikan kantin sekolah dan meluluskan lesen kebenaran pembukaan tadika. Realitinya, gejala rasuah ini memang berlaku di pelbagai peringkat dan tidak terkawal.

Justeru, usaha untuk memerangi rasuah perlu bermula dari keluarga. Pertama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh melaksanakan kajian awal untuk merangka modul dan mempromosi tadbir urus yang cekap serta perangi rasuah habis-habisan di peringkat akar umbi.

Modul ini boleh diterapkan di pelbagai institusi pendidikan bagi melahirkan generasi yang melawan korupsi.

Kedua, kerajaan harus memastikan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dapat dijalankan dengan baik dan membuahkan hasil.

Pelan ini mencerminkan bahawa Malaysia sangat komited dalam memastikan urus tadbirnya bersih menerusi 115 inisiatif yang merangkumi usaha membanteras rasuah dalam kalangan ahli politik, entiti korporat, agensi penguatkuasaan dan sebagainya.

Sekiranya usaha ini diambil serius, nescaya kita dapat membina satu ekosistem yang harmoni dalam pembentukan negara yang berintegriti dan menolak korupsi. – UTUSAN

PROFESOR DR. HANIM SALLEH, Naib Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya