SAUDARA PENGARANG,
HARI Raya Aidilfitri bakal disambut tidak lama lagi. Ini adalah kali pertama sambutan itu selepas dua tahun rakyat Malaysia tidak dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing susulan sekatan pergerakan bagi membendung wabak Covid-19.
Seiring dengan fasa peralihan ke endemik, orang ramai mula membuat persiapan untuk menyambut perayaan itu. Ini jelas apabila pusat beli-belah dan bazar-bazar Ramadan semakin sibuk dengan kunjungan orang awam.
Kita boleh memerhatikan bahawa prosedur operasi standard (SOP) secara lazimnya dipatuhi kebanyakan individu dan ini merupakan tanda aras bahawa lebih banyak kelonggaran boleh diberikan oleh kerajaan. Ini bermakna masyarakat semakin menghampiri kehidupan biasa iaitu pra-Covid-19.
Statistik kes positif menunjukkan trend menurun dan mungkin ini boleh dikaitkan dengan kejayaan program vaksin dan pematuhan kepada SOP serta kawalan kendiri orang ramai yang bagus. Pemulihan ekonomi yang sedang berlaku juga adalah sesuatu yang positif dan dialu-alukan.
Namun, kita semua perlu memainkan peranan untuk mempertahankan kejayaan yang dicapai setakat ini. Semangat perpaduan dan konsep #KitaJagaKita yang ditunjukkan masyarakat Malaysia semasa negara melalui tempoh penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi jelas menunjukkan keutuhan perpaduan kaum di Malaysia.
Malahan, semangat perpaduan yang ditunjukkan itu merupakan amalan dan sikap yang mulia dan perlu berterusan walaupun selepas fasa pasca pandemik dan diangkat sebagai satu cara hidup.
Jangan salah anggap, saya tidak menafikan yang semangat itu sedia wujud tetapi ia telah diperkukuh semasa musibah Covid-19. Oleh itu, saya menyeru kepada semua orang untuk menghayati dan menggunakan Ramadan kali ini untuk sentiasa muhasabah diri.
Ramadan adalah masa yang sesuai untuk rakyat Malaysia meningkatkan semangat Keluarga Malaysia melalui toleransi dan perpaduan antara kaum dan ini merupakan asas dan kunci kejayaan sesebuah negara.-UTUSAN
YEAP MING LIONG
Subang Jaya, Selangor