Penyediaan juadah bazar perlu disulami iman

Penyediaan juadah bazar perlu disulami iman

PENYEDIAAN makanan yang baik merangkumi aspek kebersihan dan keselamatan makanan semasa penyediaan juadah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEMERIAHAN menjalani ibadah puasa tahun ini dicemarkan dengan isu juadah bazar Ramadan yang tercemar, basi, busuk serta berulat. Berita yang tular seperti isu mi berulat serta penemuan gumpalan rambut dalam kuih tepung pelita menimbulkan polemik keselamatan makanan kepada umat Islam untuk berbuka puasa.

Situasi ini amat membimbangkan tatkala sebanyak 93 kes keracunan makanan direkodkan di Terengganu sejak hari pertama Ramadan berpunca daripada juadah berbuka yang dibeli di bazar serta peniaga tepi jalan.

Bagi memastikan isu ini tidak berulang, penyediaan juadah bazar perlu disulami dengan iman. Ini bersesuai dengan firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Baqarah, ayat 168: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”

Halalan tayyiban mempunyai hubung kait dengan keselamatan makanan dalam disiplin sains makanan. Dalam konsep halalan tayyiban, antara elemen yang dititikberatkan adalah makanan tersebut mestilah bersih, sesuai dengan tubuh badan dan tidak memudaratkan kesihatan.

Makanan yang selamat adalah makanan yang bebas daripada kuman berbahaya, racun, toksin dan bersih daripada najis dan bahan buangan lain. Hal ini kerana makanan tidak bersih boleh mengandungi bahan-bahan berbahaya atau bakteria yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan seperti Salmonellosis, demam kepialu, taun, disenteri, hepatitis A dan lain-lain. Oleh itu, seorang pengendali makanan yang baik dan beriman perlu memastikan pemprosesan makanan yang bermula daripada bahan mentah sehingga ke produk akhir adalah bersih dan selamat.

Proses ini meliputi amalan pengendalian makanan, kebersihan diri, persekitaran premis makanan, peralatan pemprosesan makanan yang sesuai dan cara serta bekas penyimpanan makanan yang selamat dan betul. Oleh itu, semua peniaga perlu mendapatkan latihan pengendalian makanan dari sekolah latihan pengendalian makanan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan selaras dengan keperluan perundangan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.-UTUSAN

MUHAMMAD IRHAMMUDIN IBRAHIM
Pensyarah Pengajian Industri Halal,
Fakulti Pengajian Kontemporari Islam
Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN