Pantau kesan rantaian gaji minimum

Pantau kesan rantaian gaji minimum

KENAIKAN gaji harus diimbangi dengan tahap produktiviti yang setimpal. – UTUSAN/ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGUMUMAN pelaksanaan kadar baharu gaji minimum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap di Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada 19 Mac lalu sudah tentu menggembirakan pekerja kategori berpendapatan rendah (B40).

Pekerja di seluruh negara bakal menikmati gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 sebulan mulai 1 Mei ini berbanding kadar lama RM1,200.

Pelaksanaan gaji minimum ini juga akan menjadikan kadar gaji di negara ini kompetitif dan setanding negara-negara lain di rantau Asia Tenggara.

Ini kerana bayaran upah di Malaysia adalah antara yang terendah di rantau ini apabila majikan hanya membelanjakan 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk gaji.

Penetapan gaji minimum ini adalah keputusan tepat diambil oleh kerajaan dalam usaha menjaga kebajikan golongan pekerja kategori B40 yang terhimpit dengan kehidupan pasca Covid-19.

Bagaimanapun, langkah ini hanya akan tercapai sekiranya beberapa perkara diambil perhatian serius oleh pihak berkenaan.

Pertama, penetapan gaji minimum RM1,500 akan menyebabkan kenaikan gaji sebanyak 25 peratus daripada kadar sedia dan kenaikan ini sudah tentu akan mempunyai kesan rantaian.

Kerajaan perlu memastikan pihak-pihak berkenaan tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan kerana ia boleh menjejaskan kuasa beli rakyat dan seterusnya mengakibatkan kenaikan kadar in­flasi.

Kedua, penetapan gaji minimum perlu menyeluruh membabitkan semua sektor.

WARGA ASING

Ini kerana sektor yang tidak melaksanakan gaji minimum RM1,500 mungkin tidak lagi menarik minat golongan pekerja dan mereka mungkin berhijrah ke sektor lain yang menawarkan gaji lebih tinggi.

Situasi ini sudah tentunya akan menyebabkan sektor berkenaan menghadapi masalah kekurangan pekerja.

Ketiga, prestasi pekerja perlu sentiasa dipantau dan dipertingkatkan agar kenaikan gaji diimbangi oleh tahap produktiviti yang setimpal agar tidak merugikan majikan.

Pihak majikan mungkin perlu dibantu untuk menyerap peningkatan kos upah melalui insentif tertentu dan program subsidi seperti Program Subsidi Upah.

Bantuan seperti ini perlu diteruskan sekurang-kurangnya sehingga ekonomi kembali pulih.

Keempat, dengan kemasukan semula pekerja asing bagi semua sektor pekerjaan yang dibenarkan penggajian dalam masa terdekat, majikan mungkin akan memberikan keutamaan untuk menggaji pekerja asing dalam sektor tertentu sepertimana berlaku sebelum ini.

Perkara ini perlu dipantau rapi kerana kenaikan gaji minimum sepatutnya dinikmati oleh pekerja tempatan dan bukannya warga asing.

Justeru, jumlah penggajian pekerja asing dalam sektor berkenaan perlu dihadkan agar hak dan peluang pekerja tempatan tidak dinafikan.

Pengaliran wang keluar negara melalui kiriman wang oleh pekerja asing juga dijangka meningkat dengan gaji minimum baharu yang ditetapkan.

Oleh itu, satu mekanisme bagaimana lebihan gaji sebanyak 25 peratus dalam kalangan pekerja asing boleh dibelanjakan di dalam negara perlu difikirkan. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. SUBRAMANIAM SRI RAMALU, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN