Media sosial bukan tempat lampias marah

Media sosial bukan tempat lampias marah

RAKAMAN video dalam media sosial turut ditonton pelbagai peringkat umur termasuk kanak-kanak. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK akhir-akhir ini, isu-isu peradaban kian hangat diperkatakan termasuk melibatkan kes pensyarah wanita yang tular kerana memarahi seorang pelajar dari golongan berpendapatan rendah (B40) disebabkan tidak mempunyai komputer riba.

Permasalahan peradaban dalam diri segelintir individu yang ditularkan dalam media sosial sehingga membawa kepada kecaman warga maya dilihat semakin menjadi-jadi.

Media sosial merupakan platform yang baik untuk perkongsian positif seperti ilmu pengetahuan, galakan dan motivasi serta promosi perniagaan.

Budaya melakukan perkara-perkara tidak sopan, dirakamkan kemudiannya ditularkan secara sengaja wajar ditolak sama sekali.

Perkara yang lebih memburukkan adalah adanya elemen-elemen penghinaan kepada bentuk badan seseorang, kecacatan dialami, kelucahan, keganasan serta perkara negatif lain dalam rakaman video yang dibuat.

Budaya seperti ini jelas amat tidak baik dan perlu ditolak. Lebih membimbangkan apabila ia ditonton oleh kanak-kanak. Masyarakat kita terkenal dengan budaya sopan santun serta budi bahasa.

Kesopanan dan kesusilaan merupakan prinsip kelima Rukun Negara yang menjadi pegangan rakyat pelbagai kaum. Oleh itu, seharusnya prinsip ini digenggam erat oleh masyarakat.

Penggunaan media sosial seharusnya sentiasa berlandaskan kepada aktiviti yang positif bagi penyebaran hal-hal berunsur kebaikan.

Niat untuk menjadikan platform ini sebagai medium melepaskan kemarahan, memalukan mana-mana pihak serta menunjukkan tabiat negatif secara sengaja untuk mendapatkan perhatian daripada warga maya wajar dihindarkan sama sekali. – UTUSAN

DR. MOHAMAD HAFIFI JAMRI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya