Manfaat sepenuhnya tenaga kerja muda - Utusan Malaysia

Manfaat sepenuhnya tenaga kerja muda

LEPASAN SPM yang tidak dapat melanjutkan pelajaran harus segera diserap ke sektor pekerjaan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

NEGARA bakal menyaksikan kemasukan semula pekerja asing secara besar-besaran setelah dibekukan hampir dua tahun susulan penutupan sempadan disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Ironinya, diberitakan terdapat kira-kira 260,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berpeluang menyambung pengajian ke tingkatan enam dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Tenaga mereka sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk ditempatkan di sektor pekerjaan.

Kerajaan wajar memastikan pengambilan baharu pekerja asing dihadkan dahulu kepada sektor perladangan, pertanian, perkilangan, pembinaan, perhotelan dan pembantu rumah manakala sektor lain seperti makanan dan minuman (F&B), restoran makanan segera, kawalan keselamatan, peruncitan seboleh-bolehnya majikan digalakkan mengambil rakyat tempatan.

Majikan ketika ini didapati cenderung melihat pekerja asing sebagai satu-satunya jalan penyelesaian bagi mengatasi isu kekurangan tenaga kerja.

Terbaharu, permintaan daripada majikan sektor pembuatan automotif yang memohon pengambilan pekerja asing sedangkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) pernah menyasarkan sifar pekerja asing dalam ekosistem industri automotif menjelang akhir 2020.

Pada masa sekarang terdapat kira-kira 220,000 pekerja dalam industri automotif dan 70,000 daripadanya adalah pekerja asing.

Salah satu faktor menyebabkan isu kekurangan tenaga meruncing ketika banyak sektor ekonomi mula dibuka adalah ramai anak muda yang sebelum ini terpaksa bekerja dalam sektor ekonomi gig semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) enggan kembali kepada pekerjaan asal mereka.

SAMBILAN

Satu kerugian jika golongan muda yang mempunyai kelulusan akademik dan sijil kemahiran ketika ini dilihat lebih memilih untuk bekerja secara sepenuh masa sebagai penghantar barang dan makanan sekali gus tidak memanfaatkan potensi sebenar yang dimiliki.

Perlu dicari jalan supaya dapat menarik minat mereka ini untuk kembali bekerja secara tetap dengan majikan.

Kerjaya sebagai penghantar barang dan makanan masih boleh dilakukan secara sambilan di luar waktu kerja formal dan ketika cuti hujung minggu bagi menambah pendapatan.

Majikan di sektor perhotelan, peruncitan dan F&B disaran mengambil graduan menganggur, penuntut IPT dan pelajar sekolah yang sedang bercuti sebagai pekerja sambilan.

Didapati golongan ini tidak kisah bekerja di restoran makanan segera sebagai juruwang dan kru restoran untuk mencari wang saku.

Usaha juga perlu dipergiat bagi menempatkan belia tercicir dalam pekerjaan, pendidikan dan latihan (NEET).

Usaha tanpa mengenal jemu Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) melalui inisiatif Projek Belia Mahir dalam mengesan dan menempatkan belia NEET dalam pelbagai sektor termasuk 3D (kotor, bahaya dan sukar) wajar diberikan penghargaan.

Sesuatu perlu dilakukan bermula dari peringkat sekolah bagi membentuk sikap positif belia yang bakal memasuki sektor pekerjaan supaya rajin, tahan lasak, berdisiplin dan mempunyai komitmen tinggi terhadap kerjaya. – UTUSAN

M. FAISAL, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya