SAUDARA PENGARANG,
SELURUH dunia ketika ini masih berdepan tekanan besar dalam usaha mengurangkan kemerosotan ekonomi berpunca daripada langkah membendung penularan wabak Covid-19.
Bagi menghadapi kesan kegawatan ekonomi, negara-negara di seluruh dunia melancarkan pakej rangsangan ekonomi untuk mengurangkan risiko kegawatan pada masa hadapan.
Malaysia mengeluarkan pakej rangsangan kewangan sebanyak RM250 bilion. Sekiranya pakej rangsangan ini terus bertambah, jumlah hutang negara semakin meningkat.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) komited dalam memperkukuhkan sektor agromakanan dengan menambah lagi usaha-usaha untuk meningkatkan pengeluaran domestik, peluasan adaptasi teknologi moden dan mengurangkan kebergantungan keperluan import sekali gus meningkatkan kualiti dan jaminan sekuriti makanan negara.
Sekuriti makanan merupakan antara aspek yang diberi perhatian khusus oleh kerajaan dan hal ini jelas diperlihatkan menerusi penubuhan Jawatankuasa Kabinet Sekuriti Makanan Negara (FSCC).
Sejak penubuhan FSCC, pelbagai usaha dilaksanakan untuk merapatkan jurang dalam sistem makanan negara, khususnya bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan yang mencukupi, selamat, bernutrisi dan mampu dibeli secara berterusan oleh semua lapisan rakyat.
Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK ) sektor agromakanan bagi suku ketiga 2021 sebanyak lima peratus manakala sumbangan sektor agromakanan sahaja kepada KDNK negara dalam tempoh sama, 4.4 peratus.
Daripada keadaan ini, MAFI mengambil inisiatif menganjurkan dialog awam bersama pemain industri. Cetusan idea dan perkongsian daripada pelbagai peringkat akar umbi serta pakar berkaitan sektor pertanian dan agromakanan diberi perhatian dan didengar oleh kementerian dalam membuat sebarang keputusan nanti.
Objektif penganjuran jelajah sesi dialog ini membolehkan pemain industri menyumbang idea, pandangan dan cadangan dalam memacu hala tuju sektor agromakanan khususnya berkaitan sekuriti makanan supaya seiring dengan keperluan semasa.
Kementerian akan terus komited dalam usaha memperkukuh jaminan sekuriti makanan negara agar industri agromakanan tidak lumpuh dan tidak akan terjejas dalam keadaan apa sekalipun.
Kementerian sendiri melakukan pelbagai usaha antaranya pelancaran Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).
Oleh itu, kementerian akan sentiasa memastikan kebajikan golongan sasar termasuk pemain industri di sepanjang rantaian nilai diberi perhatian dan dibela sewajarnya, terutama untuk memastikan kestabilan sistem rantaian makanan dan jaminan terhadap sekuriti makanan negara dalam konteks aspirasi Keluarga Malaysia tidak terjejas dalam keadaan apa sekalipun.-UTUSAN
YOSRI ABU MAHSIN
Ketua Seksyen Hal Ehwal Korporat MAFI .