Lupa kesengsaraan golongan miskin tika berbuka puasa

Lupa kesengsaraan golongan miskin tika berbuka puasa

AMALAN bersedekah di bulan Ramadan dapat melahirkan rasa keinsafan dan bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan Allah SWT.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KETIBAAN Ramadan merupakan masa untuk seluruh umat Islam berjuang menjadi Muslim sebenar demi merebut peluang meningkatkan ibadat seterusnya tahap keimanan.

Pendidikan utama paling asas dalam proses berpuasa adalah pendidikan jasmani dan rohani kerana berkait rapat dengan menahan lapar dan dahaga dengan penuh rasa keinsafan selain menghindari diri daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Namun begitu, apakah tujuan sebenar menahan lapar dan dahaga?

Asasnya, tujuannya menginsafi nasib golongan fakir dan miskin yang hidup terbelenggu dalam kesusahan terutama untuk memenuhi keperluan asas hidup, iaitu makanan.

Ironinya dalam masyarakat, sikap empati terhadap golongan fakir miskin akan hilang apabila waktu berbuka puasa. Betapa banyak pembaziran berlaku, malah ada yang menikmati makanan berlebihan. Kita dihidangkan dengan pesta makanan dan bufet. Lebih parah, jika makanan tidak dihabiskan dan terbuang begitu sahaja.

Maka, amalan murni seperti bersederhana perlu terus dipupuk bagi mengawal nafsu boros dan membazir. Kita perlu menanamkan rasa bersyukur dengan segala nikmat kerana kelaparan itu adalah peluang untuk merasa syukur di atas nikmat Allah SWT berikan selama ini.

Justeru, marilah kita bersama-sama mengambil kesempatan dalam madrasah Ramadan ini dengan melipatgandakan amalan kebajikan, di samping meneruskannya pada bulan-bulan lain agar tiada lagi golongan hidup tanpa makanan yang mencukupi.-UTUSAN

WAN AFIQAH ANIS WAN AHMAD
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN