Kendali infobesiti secara kreatif, kritis

Kendali infobesiti secara kreatif, kritis

KEBANJIRAN maklumat boleh menyebabkan seseorang sukar membuat keputusan yang rasional. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

INFOBESITI merupakan sejenis penyakit tetapi ramai yang tidak mengambil berat mengenainya kerana ia belum diwartakan sebagai penyakit kronik di Malaysia.

Menurut kamus Macmillan, infobesiti bermaksud kebanjiran maklumat terutama apabila melahirkan kesukaran untuk membuat keputusan yang rasional. Kebanjiran maklumat atau infobesiti bukanlah perkara baru kerana ia disebut oleh Alvin Toffler pada 1970 dalam bukunya, Future Shock.

Rakyat Malaysia wajar memberi perhatian tentang masalah ini kerana menurut pengkaji industri digital di Malaysia, Singapura dan Indonesia, Joshka Müller, 86 peratus daripada rakyat Malaysia adalah pengguna media sosial yang aktif dengan lebih daripada 67 peratus adalah pengguna muda/awal dewasa (20-40 tahun), hampir 20 peratus terdiri daripada pertengahan dewasa ( 40-60 tahun) dan hampir 10 peratus berumur kurang dari 20 tahun.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pula melaporkan bahawa pada 2020, sembilan daripada 10 kanak-kanak Malaysia berumur antara lima hingga 17 tahun adalah pengguna internet, manakala 92 peratus pelajar 13 hingga 17 tahun mempunyai akaun media sosial.

Kemudahan mendapatkan maklumat mendatangkan banyak kebaikan namun tetap ada keburukannya termasuk menyumbang kepada kebimbangan di tempat kerja. Bukan itu sahaja, kebanjiran maklumat telah melahirkan simptom seperti keletihan, hilang tumpuan dan ada kalanya kemurungan. Malah, apabila maklumat itu terlalu banyak, ia boleh menjadikan seseorang itu sukar membuat keputusan yang rasional.

Sementara menurut pakar neorosains, pengkaji dan penulis, Dr. Joe Dispenza, kejahilan mengenai sesuatu perkara adalah pilihan kerana terlalu banyak maklumat dihujung jari.

David Lavenda seorang ilmuan, pakar dan penulis dalam bidang teknologi maklumat pula berpendapat infobesiti wujud dalam tiga keadaan iaitu terlalu banyak maklumat, tidak cukup masa untuk memproses maklumat dan terdapat maklumat yang tidak berkualiti. Justeru, dia dan beberapa penulis lain mencadangkan langkah kreatif dan kritis dalam menanganinya dengan mengenal pasti niat apabila mendapatkan sesuatu maklumat.

Kedua, menetapkan tiga hingga empat sumber maklumat sahaja kerana terdapat pertindihan maklumat sekiranya meneroka lebih banyak maklumat dan ketiga ialah fokus.
Tiga langkah itu boleh dipraktikkan dalam mengendali infobesiti secara kreatif dan kritis.-UTUSAN

DR. SITI ROKIAH SIWOK
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial
dan Kemanusiaan, UTM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN