SAUDARA PENGARANG,
MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada tahun lalu ada menjelaskan bahawa akta sedia ada dalam negara kita tidak menghalang penggunaan ganja bagi tujuan perubatan, jika mematuhi beberapa peraturan yang telah ditetapkan.
Bagaimanapun, menurut beliau, produk yang mengandungi ganja perlu didaftarkan dengan pihak berkuasa kawalan dadah (PBKD). Pengimport juga perlu mempunyai lesen dan permit import.
Penjualan atau pembekalan runcit untuk rawatan perubatan bagi pesakit terpilih hendaklah dijalankan oleh pengamal perubatan atau ahli farmasi berdaftar.
Kesimpulannya, tiada isu untuk menggunakan ganja sebagai bahan perubatan di negara ini sekiranya kita mematuhi segala peraturan ditetapkan oleh peruntukan undang-undang.
Dalam pada itu, terdapat satu isu lain yang berbangkit iaitu bolehkah kita menanam pokok ganja untuk kegunaan persendirian atau industri? Jawapan mudahnya, ia tidak boleh dilakukan.
Menanam pokok ganja walaupun sepohon boleh dihukum penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang daripada enam sebatan.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan boleh memberikan kebenaran kepada mana-mana pegawai awam untuk menanam ganja bagi tujuan sama ada penyelidikan, pembelajaran, eksperimen atau perubatan dengan tertakluk kepada terma dan syarat yang boleh ditetapkan dalam kebenaran tersebut.
Sehubungan itu, permohonan daripada orang awam dan syarikat swasta untuk menanam pokok ganja ini tidak akan dipertimbangkan.
Tidak bolehkah pokok ganja ini ditanam sebagai satu bentuk industri baharu bagi menjana pendapatan untuk rakyat dan negara?
Ia hanya boleh dibuat jika kita memiliki proses pemantauan dan penguatkuasaan yang benar-benar berkesan bagi membendung sebarang jenis penyalahgunaan yang bakal berlaku kelak.
Ini penting bagi melindungi orang ramai daripada kesan buruk penyalahgunaan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan keuntungan semata-mata. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)