SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin memberi sedikit pandangan mengenai sistem pentadbiran negara yang disifatkan sebagai majmuk ekoran melibatkan masyarakat berbilang kaum.
Pun begitu, Malaysia sebagai negara Islam dengan mengamalkan prinsip perundangan dan pelaksanaan Islam selaras dengan adat istiadat Melayu yang sudah diterima berdekad-dekad lamanya dan ia harus dianggap kepunyaan semua kaum.
Jadi, secara logiknya tidak perlulah sesebuah parti politik bersifat perkauman kerana jelas bertentangan dengan kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.
Pun begitu, tetap menjadi persoalan apabila orang Melayu tidak pula berusaha ke arah membuktikan bahawa Islam itu baik untuk semua manusia.
Dengan tegas saya katakan di sini, adalah salah apabila dikatakan Islam itu merupakan agama semata mata.
Jadi, perubahan dalam pentadbiran perlu dilakukan agar masyarakat bukan Islam melihat Islam sebagai agama yang sederhana dan diterima oleh semua kaum. Ini kerana sudah ada kata-kata bahawa kerajaan bersifat pilih kasih disebabkan dikuasai oleh pemimpin Melayu Islam.
Jika dilihat perbandingan kekayaan Melayu di bumi Malaysia juga jelas jauh ketinggalan. Terdapat 153,000 orang Melayu miskin tegar manakala India (11,000) dan Cina (7,000). Mana pilih kasihnya?
Saya hairan apabila terdapat sesetengah pensyarah universiti menyatakan pendapat tentang sesuatu isu tanpa langsung mengaitkan dengan ketentuan dan ketetapan seperti yang terkandung dalam al-Quran. Mereka seolah-olah memberi kefahaman bahawa perjalanan hidup ini bukan di bawah kuasa mutlak Allah SWT dan Islam adalah ciptaan manusia.-UTUSAN
PENCINTA ISLAM YANG HAKIKI
Muar, Johor










