Bebas tol legakan rakyat balik kampung

Bebas tol legakan rakyat balik kampung

PEMBERIAN tol percuma sempena Hari Raya Aidilfitri melibatkan lebuh raya PLUS dan LPT. – UTUSAN/ MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SELURUH Keluarga Malaysia pastinya menarik nafas lega dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berikutan keputusan kerajaan memberikan tol percuma dan diskaun tol sempena Hari Raya Aidil­fitri kali ini.

Syawal tahun ini pastinya amat bermakna buat semua umat Islam di negara ini kerana selepas dua tahun tidak dapat merayakannya bersama keluarga tercinta di kampung akibat pandemik Covid-19.

Keputusan lebuh raya bebas tol ini dicapai selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi melibatkan laluan tanpa tol dengan jumlah diskaun dinikmati oleh pengguna sebanyak RM77.11 juta.

Jumlah berkenaan akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi. Pemberian tol percuma melibatkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dengan jaringan lebuh raya utara selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

la bermula pukul 12 tengah malam tadi sehingga 11:59 malam pada 1 Mei (Ahad) untuk semua kelas kenderaan.

Ini bukan kali pertama laluan bebas tol dilaksanakan sempena perayaan tertentu. Cuma semua laluan utama ke negeri-negeri dijangka sesak apabila jutaan kenderaan bergerak serentak meninggalkan ibu kota.

Rancanglah perjalanan anda. Apa pun, hadiah hari raya kali ini berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini apabila pemberian tol percuma di Lebuh Raya Utara Selatan dan LPT turut akan diberikan semasa pulang semula ke rumah masing-masing bermula 12 tengah malam 7 Mei (Sabtu) hingga 11:59 malam pada 8 Mei (Ahad) kepada semua kelas kenderaan.

Menurut kenyataan Perdana Menteri, tawaran diskaun tol antara 30 dan 50 peratus pula akan diberikan kepada lebuh raya-lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang sama untuk semua kelas kenderaan.

Ini adalah konsep berkebajikan amat digalakkan dalam Islam selari dengan apa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW di mana baginda merupakan insan paling berkebajikan lebih-lebih lagi pada Ramadan mulia ini.

Sifat berkebajikan menurut syarak ialah memberi apa yang patut dan wajar kepada orang yang patut serta wajar.

KEJI

Ia lebih luas berbanding menderma dan bersedekah. Sedekah lebih terhad kepada harta, namun berkebajikan merangkumi segala bentuk bantuan tenaga dan juga harta.

Berkebajikan itu adalah sifat orang mukmin dengan ruangnya sangat luas dan pelbagai. Kalau tidak dengan harta, kita boleh sahaja melakukannya dengan kata-kata seperti nasihat dan peringatan jiwa.

Apa yang penting ialah menjaga hati daripada sifat riya’ dan ujub ketika memberi. Perlu difahami bahawa berkebajikan bukan kerana undi tetapi kerana ia adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Bukan kerana mahu dipuji jika dia seorang individu biasa tetapi demi pahala. Jika tidak mampu memberi, jangan pula dikeji siapa yang meminta.

Kenaikan mendadak harga barangan asas terutama makanan seperti ayam, ikan, sayur dan sebagainya memberikan kesan yang begitu besar buat rakyat.

Bukan sahaja kepada golongan berpendapatan rendah tetapi juga mereka yang memulakan pekerjaan baharu atau kehilangan pekerjaan akibat pandemik.

Oleh kerana itu, langkah kerajaan ini adalah bertepatan pada masanya ketika rakyat perlu memaksimumkan penggunaan tunai dalam tangan untuk pelbagai keperluan lain yang lebih penting menjelang Hari Raya Aidil­fitri.

Keputusan laluan bebas tol tidak dapat tidak, serba sedikit dapat melegakan dan menggembirakan mereka yang dapat beraya bersama keluarga tercinta di kampung halaman.

Terima kasih kerajaan, penghargaan kepada syarikat-syarikat konsesi lebuh raya di seluruh negara. Selamat Hari Raya Aidil­fitri. Maaf zahir dan batin. – UTUSAN

DATUK DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI, Ahli Parlimen Kuala Nerus

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN