SAUDARA PENGARANG,
MEMANG tidak dapat dinafikan Pakatan Harapan (PH) memiliki pengaruh untuk menggugat kepimpinan kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Namun, pembubaran Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mahupun pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat ini hanya menguntungkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO daripada memberikan perkhabaran gembira untuk PH.
PH tidak mampu memenangi hati pengundi akar umbi walaupun pernah memenangi PRU14 pada 2018.
Kesilapan besar yang menyebabkan pengundi akar umbi yang pernah menyokong PH pada PRU14 menarik balik sokongan adalah kerana berlaku konflik perebutan kuasa politik.
Konflik ini melibatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini sama-sama bergabung dalam PH.
Ketidakcekapan dan kelemahan kepimpinan barisan menteri PH ketika memerintah negara menyebabkan ia ditolak beberapa kali khususnya pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.
PH tidak mampu lagi mendabik dada mereka masih boleh menarik sokongan pengundi dengan mengharapkan aura dan kepimpinan Anwar.
Keghairahan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menonjolkan aura dan ketokohan Dr. Mahathir juga ditolak mentah-mentah oleh pengundi di PRN Johor baru-baru ini.
Rakyat dan pengundi juga telah jemu dengan pendedahan salah guna kuasa serta rasuah yang berkait rapat dengan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Kekerapan isu berkaitan dicanang oleh barisan kepimpinan PH hanya memberikan undi simpati kepada UMNO dan BN.
Pengundi mahukan isu lebih besar diperjuang oleh parti-parti politik seperti membantu rakyat yang terjejas dengan peningkatan kos sara hidup, pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf kemudahan kesihatan. – UTUSAN
MUHAMMAD ANWAR FAHMI HARI DAS ABDULLAH, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka