Tiba masa ubah persepsi terhadap pengguna dadah - Utusan Malaysia

Tiba masa ubah persepsi terhadap pengguna dadah

Slogan ‘Dadah musuh negara’ tanpa disedari menjadikan pengguna dadah sebagai musuh sehingga menyukarkan proses pemulihan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

LAPORAN World Drug Report 2021 yang diterbitkan United Nations Office on Drugs and Crime menunjukkan peningkatan penggunaan dadah secara global sebanyak 22 peratus, berbanding 2010. Peningkatan ini dijangka akan terus meningkat sebanyak 11 peratus sebelum 2030 di seluruh dunia dengan peningkatan sebanyak sekurang-kurangnya 10 peratus di negara berpendapatan sederhana tinggi seperti di Malaysia.

Pada hari ini, persepsi majoriti masyarakat terhadap penggunaan dadah masih lagi dilihat berbentuk menghukum dan sering kali dikaitkan dengan sisi-sisi negatif sehingga menjadi modal drama televisyen serta iklan pencegahan dadah yang kadang-kadang membawa persepsi kurang tepat.

Slogan ‘Dadah musuh negara’ tanpa disedari menjadikan pengguna dadah sebagai musuh dan bukannya dadah itu sendiri. Budaya memupuk stigma dan diskriminasi ini secara tidak langsung lebih meminggirkan dan memudaratkan pengguna dadah. Ia menutup jalan untuk mereka tampil mendapatkan rawatan kesihatan. Perasaan takut dan bimbang ditangkap dan seterusnya ditahan di dalam lokap, penjara atau pusat serenti menyebabkan mereka lebih selesa berada di pinggiran masyarakat.

Sesetengah negara maju telah mengambil langkah mengubah dasar polisi kepada pemulihan dan kemasukan semula ke dalam masyarakat melalui pendekatan inovatif yang meletakkan pengguna dadah dan keluarganya di titik pertengahan sistem penjagaan kesihatan dan sosial yang mampan.

Pengguna dadah di Portugal yang ditahan memiliki sejumlah kecil dadah untuk penggunaan sendiri tidak lagi dirujuk kepada sistem penjenayahan. Sebaliknya, dirujuk kepada jawatankuasa yang terdiri daripada doktor, peguam dan pekerja sosial yang akan menentukan rawatan dan sokongan sosial yang terbaik.

Strategi yang dinamakan proses dekriminalisasi ini jelas sekali mencabar prinsip dan cara kita menilai isu dadah terutamanya dalam memikirkan sejauh mana sistem pemenjaraan ataupun pusat serenti sebenarnya berkesan. Sebagai contoh, kajian yang diterbitkan di jurnal berwasit Lancet menunjukkan bahawa pengguna dadah di Malaysia kembali menggunakan dadah hanya selepas 31 hari keluar dari pusat serenti berbanding mereka yang mendapatkan rawatan secara sukarela di Portugal, kembali menggunakan dadah selepas 352 hari.

Usaha merawat pengguna dadah dalam komuniti dijangka dapat mengurangkan beban kewangan negara. Kajian kami menunjukkan bahawa kos pemenjaraan bagi seorang banduan di Malaysia melebihi RM20,000 setahun. Kos rawatan metadon, iaitu rawatan untuk menangani kebergantungan seseorang pengguna kepada dadah jenis opioid, sebanyak RM6,560 setahun bagi mereka yang dirawat dalam komuniti. Jurang perbezaan kos kedua-dua strategi yang sangat besar ini seharusnya menjadi petanda kepada fokus teknik pemulihan pengguna dadah yang dijadikan pilihan.

Penggunaan dadah sebagai suatu bentuk penyakit perlu dikenal pasti dan dirawat bukannya dihukum. Ini menyukarkan usaha mengenal pasti kelompok yang benar-benar bermasalah untuk dirujuk kepada pakar perubatan sehingga banyak usaha gagal.

Masyarakat dipelawa untuk mencabar diri menilai semula pemahaman tentang penggunaan dadah yang seharusnya berlandaskan bukti saintifik dan ilmu, bukannya semata-mata daripada persepsi binaan sendiri atau pengalaman yang diceritakan orang lain melalui naratif yang berat sebelah.-UTUSAN

DR. NUR AFIQAH MOHD SALLEH, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya