SAUDARA PENGARANG,
PENGUNDIAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini adalah ujian awal bagi mengukur kematangan pengundi muda dalam proses demokrasi dan pilihan raya.
Golongan ini harus membuktikan penyertaan mereka dalam proses pilihan raya adalah tepat dan diperlukan bagi mengubah landskap politik negara selari dengan proses pendemokrasian.
Pengundi muda harus memilih parti yang mampu menawarkan kualiti berpolitik matang dan progresif.
Walaupun hakikatnya tiada parti yang benar-benar mempunyai kualiti berpolitik seperti itu, pengundi muda harus bijak membuat pilihan seiring dengan aspirasi politik mereka.
Generasi muda tidak terlalu terikat dengan politik budi sepertimana generasi lama. Golongan ini seharusnya lebih terarah kepada sentimen semasa yang melingkari kehidupan semasa mereka.
Isu seperti peluang pekerjaan, kenaikan harga barangan, isu pinjaman pendidikan dan perumahan merupakan antara yang sering menjadi topik perbincangan.
Justeru, pengundi muda harus benar-benar menilai parti mana yang mampu memenuhi aspirasi pengundi muda agar tidak terjerat dengan janji-janji politik populis.
Parti politik yang bertanding dalam PRN Johor mulai menampilkan calon-calon muda. Bagaimanapun, calon muda yang ditampilkan haruslah mempunyai kredibiliti sebagai pemimpin serta latar belakang pendidikan dan sahsiah yang baik dan bukan sekadar muda dari segi umur sahaja.
Rasionaliti dalam berpolitik harus dijadikan sandaran paling utama agar landskap politik negara dapat diubah menjadi lebih matang, unggul dan dihormati.
Sifat ketaksuban dalam berpolitik hanya membawa kepada penutupan minda serta menjurus kepada kesilapan yang berulang-ulang.
Pengundi muda harus menunjukkan jalan keluar kepada elit politik tiada kualiti, korup dan tidak berintegriti tanpa mengira fahaman politik agar perwakilan yang berada di dewan legislatif benar-benar layak diangkat sebagai pemimpin. – UTUSAN
DR. ILYAS ABDULLAH, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang Kampus Raub