SAUDARA PENGARANG,
SYABAS diucapkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana bertindak berani melantik jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon. Reputasi serta sosok Ketua Jurulatih Harimau Malaya tersebut diyakini mampu membawa cabaran dan memberikan sinar harapan baharu bagi mengubah nasib skuad bola sepak kebangsaan.
Jurulatih berusia 52 tahun itu diberikan kontrak dua tahun dengan pilihan disambung lagi sekiranya berjaya meningkatkan persembahan skuad Harimau Malaya atau FAM berpuas hati dengan prestasinya.
Jawatan Ketua Jurulatih Harimau Malaya kosong selepas peletakan jawatan Tan Cheng Hoe susulan kegagalan skuad negara di Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, Disember tahun lalu.
Saya selaku peminat bola sepak tempatan tetap percaya dan optimis yang skuad negara mampu berada sebaris bersama pasukan gergasi bola sepak Asia lain untuk melayakkan diri ke peringkat pusingan akhir Piala Asia 2023.
Maka bagi menjayakan hasrat dan impian tersebut, sewajarnya pihak pengurusan kelab atau negeri memberikan kerjasama sepenuhnya kepada FAM bagi menyediakan barisan skuad yang mantap.
Perlu ditegaskan juga, jika boleh manamana pihak atau jurulatih tempatan serta pemain Liga Super usah lagi bermulut celupar dan mengganggu tugas Pan Gon serta barisan kejurulatihan yang baharu dilantik kerana sudah pasti mereka mengetahui bagaimana menyesuaikan dengan permainan ala-ala kampung versi Korea nanti.-UTUSAN
MUZAKKIR IBADURRAHMAN, Pulau Pinang