Orang jujur sahaja boleh lawan Covid-19 - Utusan Malaysia

Orang jujur sahaja boleh lawan Covid-19

MEREKA yang berstatus positif dan kontak rapat kes Covid-19 perlu melaporkannya dengan sukarela dalam MySejahtera. – GAMBAR HIASAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BERMULA 1 Mac lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) melonggarkan lagi prosedur pengurusan kes positif dan kontak rapat Covid-19 berdasarkan kepada status vaksinasi yang telah diterima atau belum oleh individu berkenaan.

Pastinya KKM sudah membuat kajian dan pertimbangan sewajarnya bagi memberi kelonggaran di sebalik kebimbangan bilangan kes jangkitan harian yang masih tinggi.

Selain vaksinasi, penjualan pelbagai jenis kit ujian kendiri Covid-19 yang berada di pasaran secara tidak langsung membantu dalam mengawal penularan lebih awal.

Cumanya dibimbangi sekiranya keputusan ujian kendiri adalah positif Covid-19, apakah yang akan berlaku selepas itu kerana pihak berkuasa tidak mengetahui status individu berkenaan?

Ini memandangkan pada peringkat itu hanya individu tersebut yang mengetahui status dirinya merupakan seorang pembawa virus Covid-19 atau berpotensi menjadi pembawa.

Justeru, pada peringkat itu saya melihat ia menuntut kepada sikap tanggungjawab yang tinggi dan jujur khususnya mereka berstatus positif dan kontak rapat untuk melaporkan dengan sukarela di MySejahtera dan seterusnya menjalani pengasingan dan prosedur lain yang ditetapkan.

Mungkin ada segelintir yang tidak jujur apabila mengambil sikap berdiam diri dengan tidak melaporkan dirinya seorang yang positif Covid-19 mahupun dia kontak rapat atas pelbagai alasan.

Lebih dikesali, sekiranya mereka ini tanpa rasa bersalah menjalani rutin kehidupan seperti biasa dan berinteraksi secara bebas dengan masyarakat. Golongan seperti inilah yang menjadikan pengawalan penularan jangkitan Covid-19 akan gagal.

Saya juga ingin mengesyorkan untuk masyarakat melaksanakan ujian kendiri secara berkala terutama apabila bergejala.

Nampak melecehkan tetapi ia mampu menyelamatkan nyawa orang yang kita sayangi. Kata orang, lebih baik mencegah sebelum terjadi, jangan sudah terhantuk baru hendak tengadah. – UTUSAN

MOHD. ZAINI OTHMAN, Nilai, Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN