SAUDARA PENGARANG,
TINDAKAN segera telah dilaksanakan selepas Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerima aduan daripada penduduk Taman Kinrara 4, Puchong, Selangor yang terkesan dengan masalah bau busuk cecair tercemar (leachate) yang terhasil daripada lokasi lot tanah berhampiran.
Hasil siasatan MBSJ mendapati bau busuk cecair tercemar ini berkemungkinan daripada kesan bekas tapak pembuangan sampah di lokasi tersebut.
Datuk Bandar MBSJ, Datuk Johary Anuar mengarahkan penyelesaian segera dilakukan.
Pada 23 Februari lalu, semua pemilik tanah dipanggil untuk membincangkan penyelesaian terhadap isu itu secara bersama.
Hasil daripada mesyuarat berkenaan memutuskan melantik Worldwide Holding Berhad menjalankan kerja-kerja mengenal pasti punca cecair tercemar di dalam tanah dan seterusnya menjalankan proses mengeluar dan merawat cecair berdasarkan kepakaran serta pengalaman agensi tersebut.
Proses mula dijalankan pada 24 Februari lalu melibatkan kerja-kerja korekan di beberapa perigi di dalam kawasan lot tanah bagi menakung cecair dan seterusnya menyedut cecair tercemar tersebut keluar ke dalam lori tangki untuk dibawa ke loji bagi dirawat sebelum dilupuskan.
Kos kerja-kerja yang dilakukan ini akan ditanggung oleh pemilik tanah dan dipantau oleh MBSJ. Pemilik tanah telah diberi amaran untuk mengikut prosedur yang ditetapkan sekiranya ingin menjalankan sebarang pemajuan, pembangunan atau kerja-kerja tanah dengan memohon kebenaran daripada MBSJ.
AZFARIZAL ABDUL RASHID, Timbalan Pengarah Jabatan Korporat & Pengurusan Strategik, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ)