SAUDARA PENGARANG,
ERA pandemik telah melahirkan ramai usahawan yang membangunkan produk inovasi bersaiz mikro tetapi bersifat jangka pendek kerana matlamat mereka untuk mendapat sumber pendapatan alternatif ekoran tekanan ekonomi yang menghimpit.
Ini bermakna model keusahawanan perlu diubah agar lebih fokus kepada usahawan mikro bagi membantu mereka meningkatkan sumber pendapatan dalam mendepani cabaran pasca Covid-19 dengan membekalkan kemahiran dan keupayaan supaya berdaya tahan dan ke tahap lebih tinggi.
Bagi mewujudkan ekosistem yang mampu memberi galakan dan sokongan kepada usahawan baharu supaya bergiat untuk lebih terus maju dan berdaya saing hingga ke peringkat global, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) komited untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) selaras dengan fungsi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Fokus YIM ialah terus memperkukuhkan inovasi akar umbi, ekosistem inovasi sosial, menggalakkan inovator menggunakan teknologi automasi, menyokong pembangunan produk inovasi dalam menangani krisis, mengukuhkan kemahiran keusahawanan inovator serta memperluaskan skala inovasi.
YIM turut memberi bantuan sokongan di luar skop geran seperti market intelligence, projek perintis kepada komuniti, latihan untuk penyebaran inovasi kepada komuniti, akses ke pasaran, penjajaran inovasi melalui pengenalan produk dan juga perkhidmatan kepakaran lain.
Bagi mewujudkan ekosistem yang mampu memberi galakan dan sokongan kepada usahawan ini terus maju dan berdaya saing hingga ke peringkat global, mereka harus mempunyai tadbir urus, pengawalseliaan dan pembiayaan fleksibel serta fasilitatif untuk mudah meneroka pelbagai bidang yang akan mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap teknologi asing terutaman inovasi termurah China. Malaysia boleh mengikut jejak negara-negara Asia Timur yang kukuh fundamental jaringan usahawan inovasi mikro.
Pemerkasaan teknologi teras akan menggalakkan inovasi bidang baharu, menjadi pembolehdaya pertumbuhan ekonomi yang akan menyokong perancangan serta dasar kerajaan menghadapi revolusi perindustrian keempat (4IR).
Perluasan peluang perniagaan kepada semua lapisan masyarakat menyumbang kepada transformasi ekonomi yang inklusif untuk meningkatkan status sosioekonomi negara.
Kita tidak mahu melihat usahawan ini hanya muncul hangat-hangat tahi ayam semasa era pandemik tetapi kembali suram selepas ekonomi konvensional secara fizikal dibuka kembali.
Usahawan yang berdaya saing dan berdaya tahan ialah usahawan yang dipacu oleh inovasi dan bukannya mereka yang membeli inovasi dari negara luar yang kononnya murah tetapi keuntungan jangka panjang terhad.-UTUSAN
KHAIRUL ANUAR MUHAMAD NOH, Pengurus Komunikasi Korporat Yayasan Inovasi Malaysia