Konflik dedah kelemahan PBB - Utusan Malaysia

Konflik dedah kelemahan PBB

MASYARAKAT antarabangsa tidak boleh hanya duduk diam melihat segala kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh Rusia di Ukraine. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 24 Februari lalu, Rusia di bawah pimpinan Presiden, Vladimir Putin telah melancarkan operasi ketenteraan terhadap Ukraine.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Putin mengambil langkah ketenteraan terhadap negara berkenaan.

Pada 2014, beliau melancarkan serangan dan mengambil alih Wilayah Crimea berhampiran dengan Laut Hitam daripada Ukraine dan menjajah wilayah berkenaan sehingga kini.

Masyarakat antarabangsa tidak boleh hanya duduk diam melihat segala kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh Rusia di Ukraine ini berlaku secara berterusan.

Antara tindakan tegas yang boleh dikenakan terhadap Putin dan Rusia adalah dengan menyingkir negara itu daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

PBB adalah sebuah pertubuhan antarabangsa paling penting pada zaman ini. Penyingkiran Rusia dari PBB dapat memberi satu isyarat yang jelas kepada semua negara supaya tidak meneruskan keganasan terhadap orang ramai dan negara-negara lain.

Pada masa sama, sudah sampai masanya PBB mengambil langkah berani dengan melakukan perubahan drastik terhadap fungsi dan peranan yang dimainkannya bagi membendung mana-mana negara anggota bertindak seperti pembuli, samseng dan mafia dengan menyerang negara-negara lain sesuka hati mereka.

PBB tidak boleh memberi layanan istimewa terhadap mana-mana negara anggota. Akibat daripada layanan istimewa yang telah diberikan oleh PBB, Rusia serta beberapa negara anggota tetap lain telah menjadi ego, besar kepala dan berani melakukan tindakan ketenteraan dan kekerasan terhadap negara lain yang kecil dan lemah.

Perlu diketahui, Rusia serta beberapa buah negara anggota tetap PBB yang lain iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan China telah lama diberi kuasa veto untuk menentukan perjalanan PBB itu sendiri dan melindungi kepentingan dan pengaruh negara mereka di serata dunia.

MH17

Penggunaan kuasa veto oleh lima negara yang menganggotai Majlis Keselamatan PBB telah banyak mengundang perasaan tidak puas hati dalam kalangan negara anggota lain.

Langkah menggunakan kuasa veto terbabit banyak dipengaruhi oleh sentimen politik dan kepentingan negara-negara anggota tetap berkenan.

Kuasa veto ini telah disalahgunakan sehingga menjejaskan usaha untuk mewujudkan kedamaian di negara-negara yang bergolak dengan konflik seperti di Palestin dan Syria.

Impak buruk kuasa veto ini turut memberi tempias kepada Malaysia di mana pada 2015, Rusia telah menggunakan kuasa vetonya dalam Majlis Keselamatan PBB bagi menghalang cadangan lima negara yang dipelopori oleh Malaysia.

Ia bagi menubuhkan sebuah tribunal jenayah antarabangsa bagi menyiasat dan membicarakan mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Wilayah Timur Ukraine pada 2014.

Oleh itu, sudah sampai masanya PBB mengambil langkah berani dengan melakukan perubahan bagi memastikan ia kekal relevan serta bebas menjalankan aktivitinya tanpa gangguan serta pengaruh daripada mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan.

Kuasa veto yang diberikan kepada kelima-lima negara berkenaan perlu ditarik balik. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN