Kit ujian kendiri tak ikut harga siling

Kit ujian kendiri tak ikut harga siling

KAWALAN harga kit ujian kendiri Covid-19 perlu dikuatkuasakan dengan tegas. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KESUKARAN mendapatkan kit ujian kendiri Covid-19 mula dirasai di seluruh negara sejak berlaku peningkatan mendadak kes positif yang mencecah sehingga lima angka sehari kebelakangan ini.

Masalah kekurangan bekalan tersebut bukan semata-mata disebabkan orang ramai membelinya dengan kuantiti banyak tetapi pembelian secara pukal oleh syarikat-syarikat yang mengagih kepada pekerja masing-masing.

Namun, yang dikesalkan terdapat dalam kalangan pembekal dan peniaga mengambil kesempatan di atas situasi ini dengan menjual kit ujian kendiri pada harga tinggi.

Oleh itu, kawalan terhadap harga kit ujian kendiri perlu dikuatkuasakan dengan tegas supaya ia mampu dimiliki segenap lapisan masyarakat sepertimana harga pelitup muka yang kini kembali stabil dan mudah diperoleh.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akhir tahun lalu menetapkan kit terbabit dijual pada harga RM4.90 seunit.

Penurunan harga tersebut sebanyak 87.7 peratus daripada harga runcit asal, iaitu RM39.90 membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam membantu rakyat mengekang penularan Covid-19.

Harga mampu milik yang ditetapkan itu bertujuan menggalakkan rakyat melakukan sendiri ujian secara kerap, tambahan pula varian Omicron yang mendominasi pandemik pada masa ini begitu cepat merebak berbanding varian-varian lain sebelumnya.

Kebanyakan pengguna memilih kit ujian kendiri jenis sampel air liur kerana ia mudah digunakan dan lebih selesa berbanding jenis calitan sampel dalam hidung.

Justeru, seharusnya harga yang dipersetujui iaitu RM4.90 kekal dan tidak dinaikkan sesuka hati sehingga membebankan pengguna.

Peniaga dan pembekal amat diharapkan untuk tidak mengambil kesempatan di atas keperluan mendesak pengguna terutama golongan berpendapatan rendah ketika ini.

Bagaimanakah mereka yang mempunyai bilangan ahli keluarga ramai dapat melakukan ujian tiga kali seminggu jika harga sekotak kit ujian mencecah hampir RM10? – UTUSAN

MOHD. SALLEH OSMAN, Presint 16, Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN