SAUDARA PENGARANG,
TRANSFORMASI kepimpinan perkhidmatan awam boleh dilihat sebagai perspektif baharu selepas pandemik. Ini adalah sebahagian usaha Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam memastikan ia terus berdaya saing melalui kepimpinan sektor awam yang mampu menghadapi cabaran semasa dan akan datang.
Kepimpinan sektor awam kini perlu melihat proses sumber manusia dari kaca mata kompetensi dan memahami akauntabiliti kepimpinan mengikut gred jawatan. Syabas kepada JPA yang kini membuat penetapan secara khusus skop kepimpinan pegawai gred 41 sehingga turus.
Kepimpinan sektor awam perlu memahami definisi asas sekurang-kurangnya lima atribut kerangka kompetensi kepimpinan iaitu autentik, tangkas dan objektif, strategi, keterampilan eksekutif serta transformatif.
Setiap daripada lima atribut itu pula terbahagi kepada empat elemen kepimpinan iaitu fikir, pimpin, bicara dan bertindak. Persilangan antara lima atribut dan empat elemen kepimpinan menjelaskan makna kompetensi kepemimpinan yang memerlukan pegawai menguasai pengetahuan, kemahiran dan mempunyai sikap yang betul sebagai satu faktor penggalak kepada transformasi kepimpinan berskala mega.
Perkhidmatan awam memerlukan pemimpin berjiwa besar kerana hala tuju yang kian mencabar dan gelagat organisasi yang semakin kompleks memerlukan kebijaksanaan seorang ketua dan bukan semata-mata sekadar berjawatan ketua di jabatan.
Simon Sinek dalam The Golden Circle Theory menghuraikan clarity of purpose penting dalam usaha menggerakkan pasukan untuk bekerja. Pemimpin perkhidmatan awam perlu menjelaskan dengan terperinci aspek ‘kenapa’ dalam setiap tugas dan fungsi jabatan.
Dasar Pembangunan Sumber Manusia Perkhidmatan Awam diperkenalkan JPA berkuat kuasa 1 Januari lalu menekankan kompetensi generik kerana pemimpin merupakan individu yang boleh membawa sesebuah organisasi menuju kecemerlangan, membuat penambahbaikan dan mengadaptasi perubahan dalaman serta luaran.
Pemimpin harus kreatif dan peka dengan perubahan yang berlaku. Sentiasa ke hadapan untuk memimpin staf seliaan agar lebih bersedia dalam memberikan perkhidmatan terbaik. Bagi tujuan ini, mereka harus dilengkapkan dengan latihan sesuai dan berimpak tinggi.
Aspek kompetensi sepatutnya diperkembangkan dalam semua proses pengurusan sumber manusia. Pengurusan bakat berasaskan kompetensi merupakan pendekatan pengurusan sumber manusia yang mengintegrasikan semua aktiviti berasaskan kompetensi dalam mencapai matlamat organisasi. Temu duga boleh dilaksanakan berasaskan kompetensi dalam proses pengambilan staf baharu dan kenaikan pangkat.-UTUSAN
MOHD. RAFIZI RAHMAD & SITI ZALIPAH IBRAHIM, Universiti Teknologi Mara (UiTM)