SAUDARA PENGARANG,
PERHIMPUNAN Agung UMNO 2021 baru sahaja berakhir dan antara topik utama perbahasan perwakilan adalah agar parti itu bergerak sendirian menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang perlu diadakan selewat-lewatnya sebelum pertengahan tahun hadapan.
Walaupun tiada ketetapan diumumkan daripada perhimpunan itu berhubung perkara berkenaan, umum sudah dapat mengagak bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkemungkinan tidak akan menjalin kerjasama dengan mana-mana parti atau blok pada PRU15, malah tidak juga dengan Pas, rakan kerjasamanya dalam Muafakat Nasional (MN).
Ia berdasarkan kemenangan besar diperoleh BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang menghadirkan rasa percaya bahawa kejayaan sama mampu dicapai pada PRU15 walaupun tanpa MN.
Sama ada BN bertanding solo atau tidak, cabaran hebat pasti dihadapi oleh blok Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti lain yang tidak sehaluan dengan UMNO dan BN, apatah lagi prestasi mereka ketika PRN Melaka, Johor dan Sarawak tidak begitu memberangsangkan.
Lalu, apa formula terbaik yang boleh diambil lawan-lawan BN ini untuk berjaya dalam PRU15? Perlu diingat, sistem undi popular tidak terpakai di Malaysia, sebaliknya parti pertama meraih majoriti mudah akan diisytihar pemenang.
Jika undi popular diraih parti-parti selain BN pada PRN Johor diambil kira untuk menentukan pemenang, dengan mudah kita tahu siapa yang boleh membentuk kerajaan jika mereka bergabung.
BN hanya mendapat 43.11 peratus undi popular manakala PN (24 peratus), PH yang menggabungkan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) 20.5 peratus. PKR yang bertanding menggunakan logo sendiri (5.9 peratus).
Bayangkan jika parti-parti lawan mengetepikan ego masing-masing dan menjalin kerjasama ketika PRU15, mungkin boleh menumbangkan BN sekali lagi. – UTUSAN
MOHD. HILMI ABDUL LATIFF, Sepang, Selangor










