SAUDARA PENGARANG,
BEBERAPA isu seperti hak penjagaan sementara anak-anak seorang mualaf untuk dipelihara oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Perlis, azan, daging khinzir, ejaan Jawi di buku teks Bahasa Melayu, penggunaan perkataan ‘paria’, perkahwinan, tukar agama dan lain-lain menyebabkan wujudnya fobia Islam (Islamofobia) sehingga akhirnya mencetuskan pula fobia Melayu (Melayufobia) kerana Islam dan Melayu tidak boleh dipisahkan.
Polemik dalam media sosial terutama Facebook, Instagram dan WhatsApp menjadi medium luahan, kutukan dan cacian ke atas orang Islam, Melayu dan institusi diraja tanpa rasa bersalah.
Adakah orang Melayu Islam yang menjadi tampuk pemerintahan di negara ini menjalankan penghapusan etnik? Adakah bangsa lain dizalimi tanpa dibenarkan menjalankan ritual kaum dan agama mereka? Adakah kuil, tokong dan tempat beribadat mereka tidak boleh dibina? Adakah banyak yang mati kebuluran serta harta benda diambil mahupun dirampas? Adakah kuasa politik, ekonomi dan sosial tidak mempedulikan bangsa lain?
Apabila bercerita tentang kelab malam dan minum keras contohnya, kerajaan masih lagi membuka peluang untuk bangsa lain menikmati peluang perniagaan walaupun terikat dengan syarat yang ketat ekoran Malaysia adalah sebuah negara Islam.
Cukuplah dengan apa yang diberikan oleh pemerintah negara selama ini. Janganlah ada gangguan emosi dan mental kepada kaum majoriti. Bersyukurlah kita masih diberikan kesempatan dan kebebasan untuk bergerak.
Oleh itu, teruskan mengamalkan cara hidup Keluarga Malaysia seperti yang diimpikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob demi keharmonian negara.-UTUSAN
GURU KAMPUNGAN, Selandar, Melaka