SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin mengulas kenyataan daripada veteran politik, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang diterbitkan Utusan Malaysia pada 11 Mac lalu bertajuk Kerajaan tiada dasar ekonomi kuat.
Menurut Tengku Razaleigh dalam artikel tersebut, tindakan menyerahkan sepenuhnya hal ehwal pengurusan ekonomi kepada ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengakibatkan kerajaan tiada sandaran yang kuat dalam soal pemulihan ekonomi negara.
Keadaan itu, katanya, sekali gus menyukarkan kerajaan terdiri daripada gabungan UMNO-Bersatu serta beberapa parti sekutu lain dalam Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk polisi ekonomi yang berkesan bagi menghadapi krisis ekonomi global.
Pada pendapat dan pandangan saya, sepatutnya jangan terlalu mudah membuat sebarang kenyataan terutama bersifat atau niat mewujudkan permusuhan sesama Melayu yang sama-sama menerajui pemerintahan dan pentadbiran negara.
Adakah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti terlalu mudah bagi calon-calon UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk menang? Adakah terlalu mudah bagi mereka untuk memperoleh 115 kerusi Parlimen dan ke atas?
Adakah mereka lupa tentang kuasa mutlak Allah SWT? Lupakah kita tentang masalah Covid-19 dan banjir yang menjejaskan ekonomi negara atau dengan kata lain kesenangan hidup kita ditarik balik oleh Allah SWT?
Jadi, apa salahnya kita bersatu dan memperjuangkan politik Melayu secara bersama? Ini kerana ramai sahaja orang di luar sana yang bukan dari UMNO mampu mentadbir negara dengan baik.
Janganlah kita menunjukan sikap terlalu sombong dan angkuh dalam permainan politik kerana pada akhirnya Allah SWT jugalah yang menentukan segala-galanya.-UTUSAN
PENCINTA KEDAMAIAN, Muar, Johor