KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan rakyat supaya terus memelihara perpaduan, mengamalkan nilai murni dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam kehidupan bermasyarakat.
Baginda bertitah demikian menerusi perutusan khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447 Hijrah/2026.
Titah baginda, Aidilfitri bukan sekadar perayaan selepas sebulan berpuasa, sebaliknya menjadi medan untuk memperkukuh hubungan silaturahim, saling bermaafan serta menyemai nilai kasih sayang dalam kalangan masyarakat.
Baginda turut mengingatkan rakyat supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat keamanan dan kemakmuran yang dikecapi serta tidak mengambil mudah tanggungjawab sebagai anggota masyarakat.
“Rakyat perlu terus mengekalkan keharmonian dengan mengamalkan sikap hormat-menghormati, bertolak ansur serta menjauhi sebarang perkara yang boleh menjejaskan perpaduan,” titah baginda.
Baginda turut menyeru umat Islam supaya terus menghayati pengajaran Ramadan dan menjadikannya sebagai panduan dalam kehidupan seharian termasuk meningkatkan amalan kebajikan dan keprihatinan terhadap golongan memerlukannya.
Baginda juga berharap sambutan Aidilfitri diraikan secara sederhana tanpa pembaziran di samping mengutamakan keselamatan serta kesejahteraan keluarga. – UTUSAN










