Jangan sia-siakan graduan PAKK

Jangan sia-siakan graduan PAKK

GRADUAN Ijazah Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) memiliki kemahiran untuk mendidik murid sekolah rendah terutama Tahap 1 dan 2. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin memberi pandangan tentang Ijazah Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) yang dikatakan tenggelam dan tidak dipandang apabila 1,000 graduan bidang itu yang ditemu duga dalam pengambilan khas sekali ambil (one-off ) dengan hanya 12 calon lulus atau kira-kira satu peratus daripada 8,120 calon. Walhal mereka telah menunggu semenjak lima tahun lalu untuk ditempatkan dalam bidang ini.

Program PAKK mempersiapkan bakal graduan dengan kemahiran untuk mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang kondusif.

Kursus ini juga bagi membina sikap profesional, etika mapan dan boleh dicontohi selari dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pendidikan.

Isu penempatan graduan PAKK yang pernah dilaporkan Utusan Malaysia pada 2018, 2020 dan sehingga kini masih belum selesai serta berlaku pula lambakan graduan dalam bidang ini.

Dikhabarkan punca utama isu tersebut adalah penempatan untuk graduan bidang ini sangat terhad, iaitu hanya di prasekolah dan taska manakala tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) khusus untuk pemegang Diploma PAKK sahaja.

Kekosongan di sekolah rendah dan menengah pula telah diisi oleh guru daripada bidang opsyen pendidikan seperti sejarah, matematik dan sebagainya dan bukannya pendidikan seperti undang-undang, kejuruteraan, seni bina dan lain-lain.

Saya tidak mendapat data dan maklumat lebihan guru bukan bidang pendidikan yang berminat dalam pendidikan dan diterima untuk mengisi kekosongan jawatan guru itu.

Jika ada kekosongan, mengapa Kementerian Pendidikan tidak mengutamakan calon guru daripada graduan PAKK untuk mengisinya?

Bagi saya, graduan PAKK mempunyai kelebihan kerana sudah mempunyai kemahiran dan pengetahuan mengajar berbanding graduan bukan bidang pendidikan yang tiada pengalaman mengajar.

Lagipun, graduan bidang pendidikan ini boleh mengajar opsyen lain kerana pengalaman mereka belajar dalam bidang pendidikan. Kementerian Pendidikan tidak perlulah mensia-siakan pengalaman dan kemahiran graduan PAKK ini.

Menyentuh tentang pendidikan rendah, graduan PAKK perlu diberi peluang mengajar di Tahap 1 terutama tahun 1 dan tahun 2. Pengalaman dan kemahiran graduan PAKK yang mempunyai pengetahuan peringkat awal kanak-kanak dianggap sesuai mengajar di sekolah rendah.

Selain itu, graduan PAKK juga diperlukan untuk menangani buta huruf yang semakin meningkat terutama melibatkan murid tahun 1 dan tahun 2 yang tidak dapat hadir ke sekolah selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Akhir sekali, Kementerian Pendidikan diharap mempunyai perancangan yang jelas agar sumber tenaga dihasilkan dapat dimanfaatkan dengan optimum untuk memperkasakan pendidikan negara dan bukannya satu pembaziran. -UTUSAN

ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya