Isytihar endemik susahkan rakyat? - Utusan Malaysia

Isytihar endemik susahkan rakyat?

DENGAN mengisytiharkan sesuatu wabak sebagai endemik, kerajaan tidak perlu lagi mengambil langkah-langkah yang besar bagi mengawal penularan penyakit terbabit. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengulas pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa lalu bahawa Malaysia memasuki dari fasa peralihan ke endemik bermula 1 April ini.

Seeloknya sebarang usaha untuk menukar status penularan virus Covid-19 daripada pandemik pada ketika ini kepada endemik dilakukan secara bersama dengan semua negara di dunia.

Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya kita membenarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dianggotai oleh hampir semua negara untuk melakukan proses pengisytiharan penukaran status Covid-19 daripada pandemik kepada endemik.

Sekiranya kita membenarkan kerajaan dari sesebuah negara melakukan proses penukaran status berkenaan, dibimbangi boleh menyebabkan keadaan dunia menjadi kelam-kabut sekali gus mengundang kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

Endemik merujuk kepada wabak atau penyakit yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan atau daerah tertentu. Ini termasuk penularan dalam skop yang lebih besar seperti melibatkan sebuah negara.

Istilah pandemik pula merujuk kepada wabak yang menyerang dalam skop lebih besar dan tidak terhad kepada sesuatu komuniti atau daerah semata-mata.

Wabak ini akan mengancam kawasan lebih luas seperti negeri, negara, benua atau mungkin juga seluruh dunia jika dibiarkan melarat.

Dengan mengisytiharkan sesuatu wabak sebagai endemik, sesebuah kerajaan tidak perlu lagi mengambil langkah-langkah besar bagi mengawal penularan penyakit terbabit yang dilakukan di dalam situasi pandemik seperti kawalan pergerakan.

Ini termasuk pelaksanaan kerja dari rumah, proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian, mengawal kebebasan sepenuhnya kepada orang ramai untuk melakukan sesetengah jenis aktiviti, rentas negeri dan lain-lain.

LARANGAN

Setelah sesuatu wabak ditukar statusnya kepada endemik, kerajaan akan meminta rakyat untuk hidup bersama penyakit itu untuk selama-lamanya, menjaga diri sendiri dan mendapatkan bantuan perubatan sendiri sekiranya mereka dijangkiti wabak.

Kerajaan juga akan meminta rakyat hidup secara biasa serta tidak perlu rasa takut atau bimbang dengan wabak atau penyakit yang masih berlaku di seluruh dunia ketika ini.

Sekiranya kerajaan sesebuah negara mengambil langkah sendiri dengan menukar status penularan virus ini sebagai endemik, dibimbangi boleh menggugat hubungan dengan negara lain yang tidak mengambil langkah sama.

Bayangkan sekiranya Malaysia mengisytiharkan Covid-19 sebagai endemik sementara banyak negara dalam dunia yang masih isytihar wabak itu sebagai pandemik, bagaimana negara terbabit hendak membenarkan rakyat kita bergerak ke negara mereka kelak?

Rakyat kita yang ingin bergerak ke negara-negara berkenaan mungkin akan menghadapi pelbagai kesukaran kerana pelbagai larangan dikenakan sebelum dibenarkan masuk.

Penukaran status Covid-19 sebagai endemik secara sendirian ini mungkin akan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai khususnya tentang bahaya virus berkenaan kerana kes jangkitan dan kematian akibat penyakit itu masih dilaporkan berlaku di dalam negara kita dan di serata dunia.

Walaupun setiap negara ingin mengambil langkah segera untuk membuka semula sempadan dan menguatkan sektor ekonomi, ia tidak harus dilakukan secara tergesa-gesa sehingga boleh menjejaskan tahap keselamatan dan kesihatan semua pihak. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN