Isu pengadil haram belum selesai

Isu pengadil haram belum selesai

MASALAH pengadil bola sepak tidak berdaftar di Kedah semakin menjadi barah. – GAMBAR HIASAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MASALAH pengadil haram atau yang tidak berdaftar dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bukan suatu perkara baharu.

Isu ini sudah berlarutan hampir 30 tahun tanpa ada tangan yang merungkainya. Akibat dibiarkan terlalu lama, akhirnya sudah tidak terkawal lagi.

Bermula hanya sebagai kudis di badan, lama kelamaan ia semakin menjadi barah dalam organisasi pengadil bola sepak di Kedah.

Kumpulan pengadil haram ini yang tidak mahu berdaftar dengan KFA begitu giat mendominasi pelbagai perlawanan dan pertandingan liga bermula secara sulit hinggalah sekarang secara terbuka malah mendapat publisiti meluas dalam kalangan badan-badan yang menganjurkan perlawanan bola sepak.

Pengadil haram ini mendapat banyak keistimewaan menggunakan padang Stadium Darul Aman, Stadium Suka Menanti, Padang Peremba dan beberapa stadium mini di seluruh Kedah sedangkan para pengadil halal yang berdaftar dengan KFA menggigit jari kerana tidak dipedulikan.

Baru-baru ini, Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah menganjurkan liga merebut Piala Setiausaha Kerajaan Negeri.

Pengadil-pengadil yang tidak berdaftar ini juga yang dilantik bertugas dan salah seorang daripadanya didatangkan dari Kuala Lumpur untuk pertandingan akhir yang diadakan di Stadium Darul Aman.

Begitu hebat peranan mereka dan dengar khabar kumpulan tidak berdaftar ini menembusi pasaran hingga Perlis dan Pulau Pinang.

Jika hal ini dibiarkan tanpa apa-apa tindakan daripada KFA, tidak mustahil suatu hari nanti kumpulan ini akan melumpuhkan terus pengadil-pengadil halal dalam perlawanan bola sepak di Kedah dan utara Semenanjung.

Apa tidaknya, sekarang ada berita yang diterima, Kejohanan Milo akan diadakan dan kumpulan ini juga akan diberi kepercayaan mengendalikannya. Pasti kumpulan haram ini akan lebih ‘naik tocang.’

TAIKUN

Semua ini berlaku atas dasar semua pihak yang terlibat dengan bola sepak di Kedah iaitu ahli-ahli majlis, pegawai-pegawai dan badan-badan gabungan serta MSN Kedah sudah tidak menghormati KFA dan juga jawatankuasa pengadilnya yang sentiasa berusaha memberi khidmat meningkatkan lagi ilmu dan latihan.

Ahli-ahli majlis dan badan-badan gabungan KFA sering mengambil tindakan mudah dengan menghubungi ‘taikun’ iaitu bekas-bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan kebangsaan yang bermasalah dengan KFA daripada berhubung dengan Jawatankuasa Pengadil KFA yang merupakan badan sah menguruskan hal pelantikan pengadil bola sepak di negeri itu.

Mereka diberi keistimewaan bertugas di Stadium Darul Aman di bawah sinar lampu limpah yang mana para pengadil berdaftar tidak mendapat keistimewaan tersebut.

Itu adalah satu contoh membuktikan hilangnya rasa hormat badan-badan gabungan KFA serta para pegawai di KFA sendiri kepada sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam bidang pengadilan.

Banyak lagi contoh lain untuk didedahkan tetapi tentulah tidak sesuai dalam ruangan yang terhad ini.

Tetapi sebagai kesimpulan, jika perkara ini dibiarkan, tidak dapat dinafikan jawatankuasa pengadil yang dilantik KFA hanyalah untuk ‘syok sendiri’, tidak ada siapa yang menghormati ahli-ahli serta program dirancangkan.

Lama kelamaan bilangan pengadil yang berdaftar semakin berkurang. Buat masa ini, jumlah sedia ada dalam senarai pendaftaran yang akan mengambil ujian kecergasan tahunan hanyalah 115 orang. Sebaliknya nanti jumlah pengadil haram yang akan bertambah. – UTUSAN

ILHAM SYAKIMA, Yan, Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN