Doktor kontrak mahu kebajikan mereka dibela

Doktor kontrak mahu kebajikan mereka dibela

MANFAAT sama harus diberikan kepada doktor muda atau kontrak seperti doktor tetap agar dapat memberi motivasi untuk mereka ceria berkhidmat. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

NEGARA sangat memerlukan kumpulan profesional seperti doktor disebabkan populasi penduduk yang semakin meningkat dan fenomena masyarakat supra tua menjelang 2030. Nilai satu doktor di desa bersamaan nilai 40, 50 pesakit yang mendapatkan khidmat secara harian.

Nisbah doktor dengan populasi penduduk sebagaimana disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah 1:500. Malaysia menghampiri sasaran nisbah ini.

Terdapat cadangan had umur pencen penjawat awam termasuk doktor kerajaan diturunkan agar memberi ruang dan peluang kepada lebih ramai doktor muda mendapatkan status tetap.

Terdapat juga cadangan sedikit radikal agar yuran berjumpa doktor yang kini bernilai RM1 dan berjumpa doktor pakar RM5 di hospital dan klinik kerajaan dinaikkan sedikit ke amaun munasabah dan tidak membebankan rakyat sebagai solusi untuk memberi elaun kepada doktor yang bertungkus lumus berkhidmat kepada rakyat. Ia juga sebagai usaha agar pesakit menghargai nilai besar perkhidmatan yang dicurahkan oleh para doktor.

Tindakan ini memerlukan keazaman politik yang tinggi dan keberanian oleh pemimpin sejurus selepas ekonomi pulih dan gaji minimum dinaikkan. Selain itu, cadangan strategi memposisikan minat dan kecenderungan seseorang doktor muda terhadap sesuatu bidang khusus mesti diraikan bagi menaikkan semangat sekali gus membuka ruang untuk menjadi pakar.

Strategi ini perlu disokong dengan memudahkan mereka menyambung pelajaran ke peringkat sarjana berserta bantuan biasiswa atau separa biasiswa. Di sebalik kesukaran dan bebanan kewangan kerajaan yang terpaksa ditanggung, kehilangan bakat, semangat dan dedikasi doktor muda ini jauh lebih merugikan negara.

Kerajaan harus memikirkan perkara ini dengan serius sejurus ekonomi pulih sepenuhnya.

Hasil dialog Majlis Belia Malaysia (MBM) doktor muda baru-baru ini mencadangkan beberapa perkara sampingan kepada Kementerian Kesihatan seperti memperbaiki kecekapan dan kebolehsandaran Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA), isu peluang houseman yang terhad disebabkan bilangan hospital yang kurang, isu penswastaan bidang kesihatan, kawalan kualiti graduan perubatan dan kedoktoran dan polisi kerajaan yang kerap bertukar serta bertindih setiap kali pertukaran kerajaan memberikan bebanan tambahan kepada doktor kerajaan di akar umbi.

Kumpulan doktor muda ini mahukan keseimbangan antara kerja dan kehidupan, kebajikan terjaga dan kemajuan peluang pengembangan kerjaya melalui peluang menyambung pelajaran agar mereka boleh terus berkhidmat kepada negara dan rakyat dengan penuh fokus dan tanggungjawab.-UTUSAN

JUFITRI JOHA, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN